Sekolah Rendah Islam (Dar) Berwibawa

2934

(Gambar – Madrasah Dar At-Taqwa Batu Enam, adalah sekolah rendah Islam (Dar) yang paling lama ditubuhkan dan dikendalikan di bawah Dewan Ulama PAS Terengganu)

KUALA NERUS – Sekolah-sekolah Rendah Islam (Dar) di bawah selian Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu yang wujud sejak lebih 20 tahun lalu terbukti berwibawa.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang ia telah diiktiraf oleh masyarakat semua golongan masyarakat.

“Di kalangan ahli-ahli kita (PAS) memberi sanjungan dan penghormatan yang begitu tinggi kepada sekolah Dar ini.

“Baik dari sudut pengisian atau pun dari sudut bagaimana pendidikan dan tarbiah, pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan di peringkat sekolah.

“Ini juga dari sudut membina dan membentuk syakhsiyyah anak-anak. Ini telah diperakui di peringkat dalaman dan luaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Guru Madrasah Dar Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq) Pekan Batu Enam, di sini, pada Selasa 4 Julai.

Namun katanya, pihak lawan PAS terutama pendokong kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sering kali menggembar-gemburkan perkara yang negatif.

Beliau mengakui banyak kelemahan dan kekurangan PAS dalam mengendalikan institusi pendidikan seumpama itu kerana kekurangan dananya.

“Cuma pihak kerajaan (Barisan Nasional) atau pihak yang menjadi lawan kita tidak mencari sesuatu yang baik-baik dan sebaliknya dicari sesuatu yang tidak baik, yang negatif untuk diwar-warkan.

“Itu (negatif) yang digembar-gemburkan. Dia mencari dari sudut kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

“Kita (PAS) akui kelemahan dan kekurangan kita dalam menguruskan institusi pendidikan ini dari sudut dana dan kewangannya untuk mengurus. Imbuhan (gaji) guru-guru mungkin tidak setimpal dengan tugas dan pengorbanan mereka,” jelasnya.