19 gugur angkara serangan tentera Syria

1169
http://buletinonline.net/images/stories/berita47/syria.jpg

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/05/syria.jpgAMMAN: Kereta-kereta kebal Syria melepaskan tembakan ke arah kawasan perumahan di dua bandar dan membunuh sekurangkurangnya 19 orang di seluruh negara itu, kata para aktivis hak asasi, sedang askar-askar Presiden Bashar Al-Assad terus mengasak untuk menghancurkan pemberontakan terhadapnya sejak tujuh minggu lalu.

Encik Assad, yang sedang menghadapi cabaran paling serius dalam pemerintahannya selama 11 tahun itu, telah mengerahkan askar-askar dan kereta-kereta kebal ke beberapa bandar sejak dua minggu lalu untuk cuba menamatkan protes-protes yang didorong oleh beberapa siri bantahan di dunia Arab, yang telah menggulingkan para pemimpin di Mesir dan Tunisia.

Semalam merupakan antara peristiwa pertumpahan darah paling teruk sejak Jumaat lalu, apabila ribuan penduduk Syria menggunakan platform solat Jumaat untuk melancarkan demonstrasi.

Sebahagian besar keganasan itu berlaku di wilayah Daraa, yang terletak di selatan Syria, di mana tercetusnya pergolakan pada 18 Mac lalu.

Para pembantah, yang pada awalnya menggesa diadakan pembaharuan dan lebih banyak kebebasan, kini semakin berazam dalam hasrat mereka untuk menggulingkan Encik Bashar, yang mewarisi pemerintahan autokratik daripada bapanya, Encik Hafez Al-Assad, yang meninggal dunia pada 2000.

Encik Ammar Qurabi, ketua Pertubuhan Nasional bagi Hak Asasi (NOHR) di Syria, berkata 13 orang terbunuh di bandar Harra, kira-kira 60 kilometer ke barat laut Daraa.

Sebahagian besar daripada mereka terbunuh apabila kereta-kereta kebal menembak ke arah empat rumah di sana.

Dua orang – seorang kanakkanak dan seorang jururawat – mati dalam kejadian tersebut, kata beliau.

Kereta-kereta kebal juga menembak ke arah sebuah kawasan perumahan di Homs, bandar ketiga terbesar di Syria, dan membunuh sekurang-kurangnya lima orang, kata seorang aktivis hak asasi di bandar itu.

Seorang lagi mati setelah ditembak oleh penembak hendap ke bahagian kepalanya sedang dia berdiri di depan rumahnya.

‘Pasukan keselamatan sedang mengganas di pusat-pusat bandar,’ kata Encik Najati Tayara, seorang aktivis di Homs.

Tidak ada ulasan segera yang dibuat oleh pihak berkuasa Syria yang telah mengharamkan kebanyakan pihak media antarabangsa daripada membuat liputan di sana. Ini menyebabkan sukar untuk mengesahkan kejadian-kejadian tersebut.

Di Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria dekat sempadannya dengan Turkey, pasukan keselamatan telah menggunakan cota untuk menyuraikan bantahan prodemokrasi melibatkan sekitar 2,000 pelajar di sebuah kampus universiti di sana. — Reuters.