Umat Islam Wajib Bersatu Menegak Hukum Allah

2023

Oleh KAM

MARANG – “Umat Islam wajib bersatu dengan ‘tali’ Allah iaitu agama Islam dengan berpegang kepada ajaranNya, meninggikannya dan mempertahankannya”.

“Lupakan perbalahan sesama sendiri dalam perkara cabang,” kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika menyampaikan Khutbah Aidilfitri di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Menurutnya, hukum Allah itu telah dibuang oleh penjajah Inggeris setelah menjatuhkan kerajaan Islam di tanahair ini.

“Walapun kita (negara) telah berjaya meletakkan di dalam Perlembagaan melalui rundingan bahawa Islam adalah agama bagi negara, tetapi di dalam Perlembagaan itu juga masih ada halangan-halangan yang menyekat kuasa hukum Islam.

“Di antaranya ialah perkara yang disebut Akta 355 daripada Perlembagaan Negara yang menjadikan mahkamah syariah bagi orang-orang Islam disekat kuasanya.

“Melalui perbincangan melalui mereka yang sedar dan insaf, sekarang kita telah berjaya membuat persetujuan meminda perkara (Akta 355) ini bagi memecahkan halangannya,” jelas Ustaz Muhammad Khalil.

Namun, katanya masih terdapat di kalangan orang-orang yang mempertahankan warisan penjajah ini daripada orang-orang bukan Islam yang tidak mengenang jasa.

Menurutnya, Perlembagaan Negara memberikan hak kebebasan mengikut kepercayaan agama masing-masing di kalangan bukan Islam.

“Kita (Perlembagaan) memberi hak kebebasan mengikut agama mereka. Sepatutnya, mereka (bukan Islam) tidak mencampuri urusan agama Islam dan ada juga di kalangan orang-orang Islam yang mengaku Islam bersama mereka kerana semata-mata untuk mendapat sokongan kemenangan di dunia sehingga meninggalkan ajaran agamaNya,” tegas beliau.

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) 355 hanyalah sekadar memperkenalkan mahkamah syariah dengan cara Islam yang berbeza dengan yang lain.

Menurutnya, RUU 355 itu menunjukkan cara yang lebih baik dan adil serta hanyalah memperkenalkan sedikit hukum Islam mengikut al-Quran dan Hadis yang tidak menyiksa.

Kata Ustaz Muhammad Khalil, mengadakan mahkamah syariah adalah perintah al-Quran dan mengikut ajaran Rasulullah SAW.

Mahkamah Syariah, menurutnya sudah ada pada namanya sahaja tetapi kuasanya berhukum dengan Syariat Allah disekat dan dihalang oleh penjajah Inggeris dahulu.

“Maka, wajib kepada kita (umat Islam) semua bersatu membuang segala sekatan itu dan haram bersama mereka yang menentang dan menghalang usaha ini.

“Melaksanakan hukum Allah juga menjadi sebahagian daripada iman dan amal yang soleh yang wajib kerana termasuk dalam perkara ‘amal ma’aruf nahi mungkar’ yang disebut oleh Allah menjadi syarat mendapat rahmatNya,” tegasnya.

Sebelum itu, beliau mengimamkan solat sunat Aidilfitri bersama hampir 3,000 umat Islam di Masjid Rusila, Marang.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berjemaah dari beranda rumah bersama ahli keluarga terdekatnya kerana masih berada dalam rawatan.

Ustaz Abdul Hadi baharu sahaja menjalani pembedahan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN) sebulan lalu dan dikehendaki berehat selama dua bulan.