Raya Perantau Pada 2 Syawal

2485

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dengan segala hormatnya menjemput semua anak-anak Terengganu di perantauan (PERANTAU) untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Anak-anak Terengganu di Perantauan.

Majlis yang lebih sinonim dengan panggilan ‘Raya Perantau’ ini merupakan suatu kelaziman saban tahun, diadakan bertujuan untuk mengumpulkan anak-anak Terengganu di perantauan, berbincang dan menyelesaikan beberapa persoalan berkaitan ehwal semasa yang timbul.

Selain itu, majlis diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anak-anak Terengganu yang telah menjadi perantau di negeri orang di seluruh pelosok dunia.

Pengarah program Mohd Nasir Abdul Razak menjangka lebih 1,000 rang akan hadir memeriahkan program pada tahun ini.

“Jangkaan peserta yang akan menghadiri Majlis raya pada tahun ini melebihi 1000 orang anak-anak Terengganu di perantauan sama ada dari dalam negara mahupun luar negara, yang terdiri daripada golongan yang telah bekerja mahupun yang bergelar mahasiswa”

“persiapan oleh jawatan kuasa program telah dibuat dan promosi program juga sedang giat dijalankan. Pihak penganjur mengharapkan kehadiran peserta ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri pada kali ini melebihi kehadiran pada tahun-tahun terdahulu khususnya dari kalangan anak-anak muda negeri Terengganu yang berada di perantauan,” jelasnya.

Katanya, Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Anak-anak Terengganu di Perantauan ini akan diadakan pada 2 Syawal 1438 H bersamaan 26 Jun 2017 bertempat di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai, bermula jam 8.30 malam dengan jamuan Hari Raya.

Juteru beliau menyeru semua Perantau agar dapat hadir beramai-ramai, khususnya untuk bertemu mata dengan Pesuuruhjaya negeri yang baharu.

“Saya mewakili pihak penganjur, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu sekali lagi menyeru anak-anak Terengganu di perantauan yang pulang ke kampung halaman untuk hadir beramai-ramai memeriahkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri kali ini,”

“Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang akan bersama-sama meraikan dan saya berharap program yang bakal berlangsung tidak kurang seminggu ini berjalan lancar, mendapat sokongan semua pihak dan dipermudahkan oleh Allah SWT, insyaAllah,” kata Mohd Nasir yang juga merupakan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Di samping itu, majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti ucapan dan soal jawab santai bersama pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, persembahan selingan, tayangan montaj, cabutan bertuah serta agihan duit raya.