KOTA KINABALU – Ramai rakyat yang tidak mampu meneruskan kehidupan, tidak mampu membeli makanan dan tidur dalam keadaan lapar, menjadikan kaki lima bandaraya ini sebagai tempat berteduh.
Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat Dr. Azman Ibrahim berkata, antara mereka ialah seorang tua yang datang dari Sandakan bersendirian, untuk temujanji berjumpa doktor di Hospital Queen Elizabeth.
Katanya, beliau lalu adalah antara ‘gelandangan’ yang terpaksa tidur di kaki lima kedai untuk menunggu hari siang.
“Saya dapati ramai gelandangan yang terus membuka bungkusan dan menikmati makanan yang dihulurkan dengan begitu berselera sekali,
“mungkin mereka tidur dalam keadaan lapar,” ujar beliau sayu.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Semarak Kasih Ramadhan anjuran Dewan Ulama PAS Negeri Sabah bersama PAS Kawasan Putatan di sini, pada dinihari Isnin, 5 Jun.
Katanya, aktiviti agihan 50 bungkusan juadah sahur kepada gelandangan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu bermula kira-kira jam 12.30 pagi dan berakhir dua jam kemudiannya.
Turut serta Bersama program itu ialah Naib Ketua Dewan Ulama PAS Sabah Ustaz Mat Razali Mat Lazin dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Putatan, Ustaz Mohd Kamal Othman.
Sehubungan itu, Dr. Azman yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, mengucapkan syabas atas usaha PAS Sabah khususnya Dewan Ulama dan PAS Putatan kerana menganjurkan program yang begini baik dalam menyantuni golongan yang tidak bernasib baik.
“Semoga PAS Sabah meneruskan lagi aktiviti dakwah secara kaedah berkebajikan sebegini. Kita yakin bahawa jalan kebajikan akan mampu membuka ruang dakwah yang tertutup rapat,
“tiada siapa yang mampu menolak bila kita datang untuk berbuat kebajikan.” tambah Dr Azman dengan optimis.











