Ramadhan Yang Dirindui; Semakan Muhasabah Diri

3151

Oleh : Hilmi Harun

Kerinduan lahir dari sebuah kecintaan. Ia dirasai bagi yang mengenali. Sebuah anugerah apabila Dia menghendaki, dan tatkala kita tulus mencari.

Sewajibnya limpahan kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah, Tuhan semesta alam. Kerana dengan limpah rahmatnya, dapat lagi kita peluang bersua dengan Ramadhan pada tahun ini.

Pada penghujung Ramadhan yang lepas, tiada siapa antara kita pada hari ini dapat berkata dengan yakin bahawa mereka sempat bertemu lagi dengan Ramadhan keseterusnya. Namun inilah ketentuan Allah SWT, Dia masih mengizinkan lagi untuk kita berada dalam kemuliaan bulan yang sarat dengan barakah dan keampunan ini. Ramadhan, pasti ia saat ditunggu-tunggu bagi mereka yang merinduinya.

Bagaimana untuk kita merinduinya sedang kita tidak mengenali. Tidak kenal maka tiadalah cinta. Apabila tiada cinta, mana mungkin kerinduan akan berputik.

Ramadhan merupakan bulan yang yang dijanjikan keampunan, kerahmatan, dan pembebasan dari siksa neraka, melebihi dari bulan selainnya. Ibadah puasa begitu tinggi nilainya hinggakan Allah SWT sendiri yang akan mengganjarinya tanpa perantaraan selain-Nya. Segala amalan di bulan Ramadhan diangkat nilainya berbanding di bulan-bulan yang lain. Kitab suci Al-Quran yang menjadi perlembagaan umat akhir zaman diturunkan Allah di bulan Ramadhan. Pada akhir Ramadhan pula disediakan khas satu malam yang dijanjikan lebih baik dari seribu bulan.

Serta seribu satu rahmat lagi yang tak mampu dibilang turun memayungi siang dan malam pada bulan Ramadhan.

Demikianlah, amat rugi bagi kita yang disempatkan Allah SWT untuk bertemu bulan seribu rahmat ini, namun melepaskan peluang memanfaatkannya dan biarkan ia berlalu begitu sahaja.

Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu telah melancarkan Ramadhan Bulan Tarbiyyah di Pekan Batu Enam pada 25 Mei 2017 baru-baru ini. Alhamdulillah, kami telah mengedarkan kepada semua Pemuda kawasan & dun ‘Checklist Ramadhan’, iaitu sekeping jadual muhasabah harian di bulan Ramadhan.

Untuk menjayakan usaha ini, diharapkan jadual tersebut dapat diedarkan pula dengan segera kepada pemuda-pemuda di peringkat cawangan. Masing-masing perlu mengambil tanggungjawab mengisi jadual harian tersebut sebagai panduan muhasabah diri sendiri. Moga kita dapat menjalani hari esok yang lebih baik dari hari semalam.

Akhirnya, mudah-mudahan Allah SWT menerima kita sebagai tetamu-Nya dan menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan yang lalu.

Ramadhan, kenalilah ia, cintailah ia…… pasti nanti kita akan merinduinya!

***YB USTAZ HILMI BIN HARUN ialah ADUN Manir dan Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu