Karenah Birokrasi Punca ‘Tabung Penyakit Kronik’ Gagal Ringankan Derita Rakyat

1942

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – Karenah birokrasi adalah antara punca utama menyebabkan Tabung Penyakit Kronik gagal mengurangkan beban rakyat yang memerlukan bantuan serta merta.

Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, usaha kerajaan menubuhkan Tabung Penyakit Kronik adalah satu usaha yang baik untuk membantu rakyat.

Namun menurutnya, pesakit yang perlu bantuan segera sukar untuk mendapat pembiayaan dari dana tabung itu kerana masalah ‘prosedur’.

“Malangnya, mungkin disebabkan karenah birokrasi dan sebagainya, matlamat penubuhan tabung itu tidak tercapai,

“Sepatutnya ia mampu menyelesaikan masalah rakyat miskin yang memerlukan bantuan untuk perubatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan perkara tersebut ketika ditemui menziarah seorang pemuda dalam DUN terbabit yang diserang penyakit angin ahmar.

Beliau bersama-sama Pemuda DUN dan PAS Cawangan Bukit Tok Beng telah menziarahi Mohd Hasrol Mohd Isa, 36, di Kampung Bukit Tok Beng, dekat sini.

Hazrol yang sedang berehat tiga minggu lalu, mengadu tidak sedap badan dan secara tiba-tiba terus rebah tidak sedarkan diri,

Menurut isterinya, Jaslin binti Dahani, setelah mendapat pemeriksaan, doktor mengesahkan dia diserang ‘strok’.

“Hazrol telah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dalam kepala di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” kata Jazlin.

Sehubungan itu, Ustaz Zakaria menggesa agar tatacara pengeluaran tabung tersebut dipermudahkan, tanpa prejudis dan campurtangan ‘politik’.

“permudahkanlah demi untuk rakyat sesuai dengan janji ‘Transformasi’, jangan memayahkan dengan keperluan yang pelbagai,

“dah terbukti mereka sakit dengan perakuan hospital…..jangan ‘pilih bulu’,”tegasnya.

Justeru itu, beliau mendoakan semoga Hazrol segera diberikan kesembuhan oleh Allah dan memohon mana-mana pihak yang prihatin agar dapat tampil meringankan beban Hazrol.

Katanya, sesiapa yang berhajat untuk memberikan sumbangan, boleh menghubungi beliau sendiri.