PAS Simpati Kepada Keluarga Rosli Yang Ditimpa Musibah

1923

KUALA TERENGGANU – PAS melahirkan rasa kebersamaan dan simpati kepada keluarga Rosli Endut, yang ditimpa musibah apabila rumah pusaka arwah ibunya terbakar.

Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr. Azman Ibrahim berharap, Rosli sekeluarga bersabar menghadapi ujian tersebut.

“Kepada Rosli sekeluarga, saya harap dapat bersabar dengan ujian dan jangan lupa sentiasa ingat dan berdoa,

“semoga Allah menggantikan musibah yang menimpa ini dengan sesuatu yang lebih baik,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi Rosli di Kampung Chendering Pantai, di sini hari ini, Selasa 9 Mei.

Beliau juga menyampai sedikit sumbangan kepada Rosli, bagi meringankan beban yang ditanggung beliau dan keluarga.

Pada kira-kira jam 12 tengah malam Ahad lepas, rumah kayu pusaka yang dibina kira-kira 52 tahun lalu musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku.

Menceritakan peristiwa sedih itu Rosli berkata, kejadian yang berlaku terlalu pantas dengan api marak membakar keseluruhan rumahnya.

“sehingga kami sekeluarga tak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barangan berharga……..menyebabkan kami sekeluarga, 10  beranak tinggal sehelai sepinggang,” jelasnya.

Menurutnya, walaupun rumah peninggalan arwah ibunya musnah sama sekali, namun beliau yang merupakan seorang buruh binaan bersyukur, kerana semua ahli keluarganya selamat tanpa apa-apa kecederaan.

Justeru itu katanya, beliau terpaksa menumpang tinggal di sebuah rumah sewa berhampiran tapak rumah yang rentung itu.

“Untuk sementara ini………sekarang kami sekeluarga menyewa  sebuah rumah sewa dekat sini,

“syukur juga kerana pada malam kejadian, tiupan angin tak kuat…..kalau tak, berlaku musibah lebih besar sekiranya api merebak ke rumah keluarga lain yang bersebelahan,” ujar Rosli.

Hadir sama ialah Setiausaha Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Abdul Hadi Mohamad, Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Naib Yang Dipertua, Haji Ahmad Amzad Hashim dan Setiausaha, Ustaz Mohd Soud Said serta Ketua PAS Cawangan Chendering Pantai, Abdul Latif Abdullah.