ALOR SETAR – PAS mengesa kerajaan melaksanakan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Keuntungan Saham, sebagai alternatif kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) .
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) Dato’ Dr Mahfodz Mohamed menegaskan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mesti dibatalkan.
Katanya, ia kerana kaedah percukaian tersebut bercanggah dengan Islam dan hukumnya adalah haram, kerana ia dikenakan kepada semua rakyat termasuk orang miskin atas perbelanjaan mereka.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat kali ke 56 di Sekolah Rendah Islam, Darul Ulum, di sini pada Khamis, hari ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Johor menambah, sebagai alternatifnya, kerajaan sepatutnya mengenakan cukai kepada kelompok yang kaya melalui sumber seperti cukai simpanan korporat dan cukai atas keuntungan jual beli saham di bursa saham.


Muktamar dewan tersebut yang diadakan sehari sebelum Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 yang akan bermula pada 29 April selama tiga hari di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.




























