Berpantang Maut Sebelum Ajal

9194

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Seorang aktivis dan ahli jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Amal Terengganu, nyaris maut setelah terlibat dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi pada petang semalam.

Kemalangan berlaku berhampiran simpang keluar dari PASTI Ar-Rahman, Kampung Baru Kertih ke jalan utama menuju ke Plaza Tol Kertih.

Mangsa, Ustaz Hassan Harun, 27, yang juga Imam Masjid Jamek Kertih dikatakan baru selesai bertugas berkhutbah dan mengimami solat jumaat.

Seorang saksi di tempat kejadian, Abdullah Lateh berkata kira-kira 2.50 petang sebuah motosikal jenis Kawasaki Z1000 SX yang ditunggang laju oleh mangsa merempuh sebuah kereta Honda Civic yang keluar dari simpang secara tiba- tiba.

“Impak kuat kejadian menyebabkan mangsa tercampak ke arah sebuah bangsal jualan di kanan jalan” kata Abdullah Lateh.

Menurut saksi itu lagi, mangsa dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Kertih untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kemaman.

Dalam pada itu, Ustaz Hassan Harun ketika dihubungi berkata beliau hanya mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kemaman dan disahkan hanya mengalami masalah kecil pada tulang rusuk dan bersyukur kerana masih terselamat walaupun motosikal rosak teruk dalam kemalangan tersebut.