Oleh : KAM
KUALA TERENGGANU – PAS tidak menolak kemungkinan bertanding lebih banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, jika parti itu bersendirian.
Pengerusi Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali berkata jika PAS ditakdirkan bersendirian parti itu bebas hendak bertanding tanpa sekatan.
Menurutnya, pada PRU13 lalu PAS bertanding di 73 kerusi parlimen berbanding sebelum itu pada PRU12 sebanyak 66 kerusi parlimen sahaja.
Justeru, katanya tidak menjadi suatu yang pelik jika pada PRU14 kelak PAS akan bertanding lebih lagi.


“Ya, dari beberapa sudut kita (PAS) bebas nak bertanding di mana pun tidak ada sekatan. Bila kita sendiri itulah yang ada kebebasan pada diri kita (PAS).
“Kita nak tanding 100 kerusi (parlimen) lebih pun boleh tapi bila pecah undi, ini tidak akan menguntungkan pembangkang. Siapakah yang memulakan pecah ini..? bukan PAS,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di bilik mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, pada Khamis 13 April.


“Kita (PAS) secara tradisinya sudah 60 tahun lebih lawan Umno ini. Umur PAS sekarang 66 tahun. Lima tahun sahaja tidak serang Umno semasa dalam gabungan Barisan (BN) dahulu.
“Sepanjang masa PAS lawan Umno. Macam mana puak-puak ini kata kita (PAS) hendak bersama dengan Umno…tak mungkin. Dia (PAN) hendak ambil tempat PAS terpaksalah cakap hodoh tentang PAS,” jelasnya.
Beliau mendakwa Parti Amanah Negara (PAN) itu ditubuhkan dengan sokongan DAP bagi menggantikan PAS.
Namun, kata veteran PAS itu secara umumnya PAN bukanlah sebuah parti yang mendapat sambutan di kalangan rakyat.


“Tapi, apabila dia cuba tarik orang PAS dan tidak berjaya terpaksalah mereka cari jalan untuk serang situ, serang sini.
“Ada sebahagian penyokong ‘atas pagar’ yang sebelum tubuh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mereka sokong PAN. Tapi, sekarang sudah lari tinggalkan PAN dan masuk Bersatu.
“PAN bukan parti yang dapat sambutan waktu ini. Ahli-ahli Umno yang lari tinggalkan parti pun tidak masuk PAN tapi masuk Bersatu,” ujarnya.
Menurutnya, pada PRU14 akan datang PAS bersedia untuk bertanding disemua kerusi parti itu bagi menghadapi BN.




























