Tiga MB, Tiga Kali Mahu Roboh Pasar Payang

4776

KUALA TERENGGANU – Tiga kali Pasar Besar Kedai Payang mahu dirobohkan oleh tiga Menteri Besar Umno yang dilantik sejak Barisan Nasional (BN) ’merampas’ tampuk pemerintahan negeri Terengganu daripada PAS, pada tahun 2014.

Menurut seorang peniaga wanita Pasar itu, merobohkan Pasar Kedai Payang seolah-olah menjadi agenda penting kepada ketiga Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh, Dato’ Seri Ahmad Said dan Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Wan Maimunah Wan Ismail, 62, (Gambar bawah, kanan) berkata, walaupun cadangan membangunkan bangunan baharu terkini dipersetujui oleh para peniaga, namun beberapa syarat mestilah dipenuhi oleh kerajaan.

“Kami menetapkan syarat, boleh dirobohkan dengan syarat kami, dipindahkan serta merta bersama-sama ke tempat yang baharu dan dipindahkan semula ke Pasar Payang ni bersama sama, “

“Kami tidak mahu berperingkat-peringkat, sebab (ia akan menimbulkan) masalah………apabila berperingkat-peringkat, situasi peniaga lama dulu telah mengalami kerugian yang besar, masa perpindahan di tepi Bukit Puteri, masa tu kita masih kecil lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh HARAP TV dalam rancangan ‘Apa Khabar Pasar Payang’ pada Isnin 10 April.

Beliau yang sudah 15 tahun berniaga di pasar bersejarah itu berkata, rancangan merobohkan pasar oleh Idris Jusoh dan Ahmad Said tidak dipersetujui oleh para peniaga.

“Pada masa tu Idris Jusoh hendak merobohkan dan membaiki pulih, dan kami peniaga-peniaga (tidak) bersetuju (tetapi setuju) untuk membaikipulih Pasar Kedai Payang (sahaja),

“rancangan merobohkan pasar diperingkat kedua adalah semasa Ahmad Said sebagai Menteri Besar……dan ditentang keras oleh peniaga-peniaga dengan menaikkan kain rentang tanda protes,” tegas beliau.

Ia adalah kerana, kata beliau, ketika itu kerajaan mahu merobohkan keseluruhan pasar tersebut dan mahu membina sebuah bangunan empat tingkat dengan pangsapuri dan pusat beli belah serta hotel.

Justeru itu, kata beliau, hasil perbincangan di antara antara peniaga dan Ahmad Razif, Menteri Besar berjanji akan menempatkan peniaga asal kepada Pasar yang baharu, selepas siap pembinaannya.

“Keadaan pasar memanglah uzur, di mana peniaga-peniaga, di bawahnya berniaga ikan basah, dan di atasnya berniaga kain tidak baguslah,

“Yang kedua, Pasar Payang ni bahagian-bahagian atasnya (atapnya) bocor dan kita boleh baiki semula,” ujar beliau lagi.

Beliau yang merupakan seorang ibu tunggal melahirkan harapan, dengan pembinaan pasar yang baharu, keadaan susunan perniagaan akan lebih teratur.

“(kita minta supaya) ada tempat letak kereta untuk OKU, laluan-laluan OKU dari atas parking kereta………sehingga ke lot-lot perniagaan,

“hendaklah dibina dan juga tandas yang baik, bersih serta air yang mencukupi kerana masalah bekalan air terutama semasa cuti persekolahan selalu berlaku,” katanya lagi.