Hanya Seorang Sahaja Pelajar Dihantar Ke Luar Negara Tahun 2017

5676

KUALA TERENGGANU – PAS terkejut dan kesal kerana, hanya seorang sahaja pelajar yang ditaja oleh Yayasan Terengganu, dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara pada tahun ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, sedangkan bajet yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun lalu untuk tahun 2017 adalah sebanyak RM1.867 bilion.

“Peruntukan untuk Yayasan Terengganu untuk pelajar luar negara pada tahun 2014 sebanyak RM40 juta, tahun 2015 sebanyak RM70 juta,

“tapi mengapa seorang sahaja pelajar terbaik 2016 yang dibiayai oleh kerajaan untuk ke luar negara pada tahun 2017………sedang bajet negeri yang diluluskan sebanyak RM1.87 bilion,” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penggulungan Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A Latiff Awang pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis lalu.

A Latiff ketika diminta penjelasan berkenaan perkara tersebut berkata, pelajar tunggal tersebut yang akan  dihantar ke negara Jerman bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang ‘Aeroangkasa’.

“tahun ini kerana kekangan ekonomi, kita tak boleh hantar lagi…..hanya seorang sahaja……yang kita hantar pada tahun ini,” ujar A Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan.

Selain itu, kata Ustaz Satiful, walaupun diwar-warkan sebagai negeri terbaik dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), banyak isu-isu yang tidak selesai berkaitan pentadbiran bidang pelajaran.

Antaranya, kata beliau, isu pembelian asrama pelajar Mansoura di Mesir, yang dibeli oleh kerajaan negeri dengan kos sebanyak RM13 juta.

“asrama ini kerajaan beli dengan harga RM13 juta walaupun dimaklumkan harga pasarannya hanya RM1 juta, tapi sekarang ini asrama itu kosong tidak ada pelajar,

“sebab selepas beli asrama itu yang pada mulanya dikhususkan untuk pelajar perubatan, sebaliknya kerajaan tidak lagi menaja mana-mana pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam tersebut,” jelas beliau.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan negeri menyelesaikan perkara terbabit termasuk isu program pengajian Institut al-Quran Terengganu (IQT) yang tidak mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia.

“program pengajian ‘Syahadah Tahfiz’ IQT tidak mendapat pengiktirafan JAKIM dan dan JPA…….ini adalah perkara penting juga bagi anak-anak negeri Terenganu,

“kita tidak nafikan usaha-usaha baik yang diambil, tetapi kita berharap kerajaan menyelesaikan isu-isu pendidikan ini,”tambah beliau.

Berita terkait;

Beli Bangunan Yayasan Terengganu di Mesir, Penjelasan Diperlukan!

Ada Peningkatan Harga Sengaja Dibuat Dalam Pembelian Asrama Di Mesir

Skandal Pembelian Asrama di Mesir ; PAS Terengganu lapor SPRM

Pembelian Asrama Mansoura; Repot Polis Sudah, SPRM Pun Sudah!