KUALA TERENGGANU – Penjawat awam tidak perlu bimbang dan khuatir untuk bersama-sama seluruh rakyat Malaysia, menyertai Perhimpunan Menyokong Usaha Memartabatkan Mahkamah Syariah (H355).
Mantan Exco kerajaan negeri Terengganu Haji Yahaya Ali berkata, pihak Sektariat Himpunan itu telah memperolehi kelulusan dari pihak penguatkuasa.
“Alhamdulillah……saya dimaklumkan pada pagi Jumaat lepas (10 Februari) oleh Setiausaha Sekretariat Encik Kamaruzaman Abdullah, beliau telah mendapat kebenaran dari pihak polis,
“pihak Dewan Bandaraya juga, bukan sahaja telah memberikan kebenaran untuk menggunakan Padang Merbok bahkan, akan membantu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, tandas bergerak dan lain-lain keperluan untuk persiapan,”ujarnya.


Katanya, selain dari ucapan tokoh-tokoh yang mewakili umat Islam dari pelbagai pihak, ia adalah satu perhimpunan aman yang akan dipenuhi aktiviti munajat dan keagamaan termasuk kuliah yang akan disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“in sha Allah, selain Mufti Wilayah, saya juga dimaklumkan beberapa orang Mufti dari negeri-negeri juga akan bersama-sama dan pendakwah terkemuka,
“Ustaz Azhar Idrus akan menyampaikan kuliah khas sebaik saja selesai solat asar pada Sabtu 18hb,” jelasnya.


“Himpunan ini akan menjadi sejarah kepada orang-orang Melayu Islam dan masa hadapan anak-cucu kita adalah bergantung kepada kekuatan kita,
“menyokong usaha memartabatkan syariah di negara ini…….dan ini adalah tanggung jawab kita kepada agama Islam yang kita cintai,”tambah beliau



























