Oleh : KAM
KEMAMAN – PAS Kawasan Kemaman mempertegaskan arahan kepada seluruh jentera parti disemua peringkat agar berada dalam keadaan siap siaga serta memperkemaskan bilik gerakannya.
Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid mengajak jentera parti bekerja bersungguh-sungguh pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.
Ini penting, katanya bagi mempertahankan kemenangan satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai serta memenangi tiga Dun lagi.



“Kita juga harapkan kemenangan di Dun-Dun yang lain akan memberi sumbangan kepada penubuhan kerajaan PAS Terengganu pada pilihan raya akan datang ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PAS Dun Chukai, di Dewan Mujamma, Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman, pada Rabu 8 Februari.
Katanya, PAS mempunyai kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi yang tidak ada kepada parti-parti pembangkang lain.



“Kehadiran ahli parti yang ramai ini menggambarkan kekuatan PAS. Inilah PAS dan tidak ada kepada parti-parti (pembangkang) yang lain.
“Kita (PAS) mempunyai ‘akar umbi’, petugas-petugas PAS yang memberi kekuatan kepada parti kita.
“Saudaralah yang merupakan tenaga, pejuang yang kita (PAS) harapkan bertungkus-lumus untuk mempertahankan dan memberikan kemenangan dalam pilihan akan datang ini.


“Sama ada diuji dengan ‘rampasan’ kerusi atau pemimpin-pemimpin PAS diuji dengan pelbagai fitnah dan tomohan,” jelasnya dihadapan lebih 450 orang petugas parti.
Jentera PRU14 PAS Dun Chukai itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi dengan beberapa gimik pelancaran tersebut.

























