Sentuhan Ikhlas Ziarah Pemimpin PAS

1954

MARANG – Kehadiran pemimpin PAS menziarahi kaum Tionghua sempena Tahun Baru Cina dengan ikhlas, diterima baik oleh masyarakat tersebut.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN), Muslimat PAS Terengganu, Puan Serena Lim Abdullah berkata mereka berinteraksi mesra pada setiap program ziarah yang dianjurkan.

“Ini merupakan tanda positif, (mereka) cakna dengan sentuhan ikhlas dari pimpinan PAS…..harap pemimpin semua peringkat, semua kawasan dapat tunaikan hasrat mereka,“ ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ziarah kaum Tionghua di pekan Wakaf Tapai pada hari Sabtu, 4 Februari yang lalu.

“Walaupun sekadar tiga biji limau…“, tambah beliau, teruja dengan sambutan penuh kemesraan daripada mereka yang dilawati, majoriti terdiri dari masyarakat peniaga.

Sehubungan itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD), Ustaz Sulaiman Sulong berkata, PAS sebagai sebuah parti Islam tidak menolak kepelbagaian agama dan kepercayaan dalam sistem bernegara seperti Malaysia,

“PAS sentiasa membuka ruang untuk mencari titik persamaan dalam membetuk masyarakat yang harmoni aman dan damai,”tegasnya.

Program yang telah mendapat kerjasama Lajnah Kebajikan Negeri itu, berjalan dengan meriah dan harmoni dengan hampir 300 bungkusan buah limau berjaya diagihkan.