Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – PAS Terengganu telah memutuskan akan mengerahkan seramai 30,000 ahli dan penyokongnya untuk perhimpunan menyokong pembentangan Rang Undang-Undang Akta 355 (H355), yang akan diadakan di Dataran Merdeka 18 Februari depan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, sehingga kini semua bas di negeri ini telah ditempah dan ia masih belum mencukupi untuk membawa peserta ke H355.
Sehubungan itu, PAS DUN Kemasik menyeru semua ahli hadir pada Himpunan Mega Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang akan diadakan 18 Februari depan.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kemasik, Amri Mamat berkata, kehadiran ahli PAS adalah penting sebagai menunjukkan sokongan kepada usaha untuk memperkasakan perkara berkaitan kepentingan Islam.
“PAS DUN Kemasik akan menghantar 1,000 peserta ke himpunan itu nanti….pelbagai pendekatan sedang diusahakan oleh pihak MTD untuk menarik penyertaan ahli dan umat Islam di sini” kata beliau.
Pengangkutan bas kita sediakan, tugas ahli adalah mendaftar melalui cawangan masing-masing” tegas beliau selepas selesai berkuliah maghrib di Surau Taman Selasih, Kertih di sini semalam.
“RUU355 adalah sebahagian dari kewajipan kita untuk menyokong dan memartabatkan Islam, ayuh kita ‘purple’kan H355 dengan penuh kemeriahan” tambah beliau lagi.