PRU ke-14; PAS Tawarkan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’

3407
  • Oleh: KAM

KUALA TERENGGANU: Menjelang Pilihan Raya Umum (PPRU) ke-14, PAS Terengganu menawarkan kepada rakyat dengan tema “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata beberapa isu yang menyentuh hati rakyat akan digabung-jalingkan.

Katanya, isu agama masih lagi dianggap penting kerana dasar perjuangan sejak dari dahulu lagi bagi menegakkan syariat Islam.

“Ada beberapa isu yang perlu kita gabung-jalinkan. PAS ini dasar kita dari dahulu untuk menegakkan Islam. Isu agama masih lagi menjadi isu penting.

“Sebab itu, tema yang akan kita (PAS) utarakan dalam manifesto menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, akan datang ialah “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”.

“Berkat itu merupakan salah satu elemen yang kita menterjemahkan dasar dan prinsip perjuangan kita (PAS) untuk mencari keberkatan di sisi Allah SWT.

“Maju dan sejahtera di dunia ini dan juga untuk mendapat keberkatan di sisi Allah Ta’ala,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Isu anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kampung Kuala Ibai, di sini, 28 Januari lalu.

Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang itu merupakan satu komitmen PAS.

Ini kerana, katanya RUU Akta 355 itu merupakan isu agama yang melibatkan dasar serta prinsip perjuangan PAS.

Menurutnya, kerana mempertahankan dasar dan prinsip tersebut menjadi salah satu punca terputus hubungan PAS dengan DAP.

“Sebagaimana isu-isu agama di peringkat nasional seperti Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ini yang dibawa oleh Presiden PAS (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang).

“Ini menggambarkan komitmen PAS, dasar-dasar (Islam) apabila kita telah memutuskan hubungan dengan DAP.

“Bukan faktor kerusi atau bukan faktor Putrajaya tetapi faktor betapa PAS ini berpegang kepada dasar dan prinsip dia, Islam sebagai matlamat perjuangan. Apabila ada pertembungan dengan prinsip kita…kita tetap berpegang dengan prinsip kita,” tegasnya di hadapan peserta taklimat tersebut.