PAS Tolak Pelawaan DAP, Sedia Bincang Dengan PBBM

4913

Oleh : KAM

MARANG – PAS menolak pelewaan Lim Kit Siang untuk bersama DAP menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, selagi pemimpin veteran parti itu bersikap menentang Negara Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata DAP tidak menunjukkan sikap positif serta masih menentang Negara Islam.

Beliau berkata, ia termasuklah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang DAP tidak bersetuju dengan pindaan tersebut.

Menurutnya, pelawaan pemimpin veteran DAP itu yang mahu berbaik semula dengan PAS bukan perkara baharu.

“Dia (DAP) acap kali doh nok berbaik ini, keluar pun acap kali doh. Dia (Lim Kit Siang) tidak ada tunjuk bukti yang dia terima secara positif, dia masih menentang Negara Islam.

“Termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 pun dia (DAP) tak setuju. Itu ‘benda’ (perkara) yang berkait dengan prinsip, kita kena sedar.

“Sekadar untuk menang pilihan raya? Kita (PAS) bukan nak menang pilihan raya sahaja, kita nak buat perubahan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaat, di Masjid Rusila, Marang, mengenai kenyataan Lim Kit Siang mempelawa PAS bersama DAP untuk menghadapi BN, hari ini.

Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengakui bahawa PAS dan DAP mempunyai agenda parti masing-masing.

Katanya, PAS tidak boleh bersama dengan mana-mana parti yang bercanggah dengan agenda mendaulatkan Syariat Islam.

“Memang dia (DAP) ada agenda, kita (PAS) pun ada agenda. Kalau agenda bercanggah (dengan Islam) tak bolehlah,” tegasnya.

Menjawab kenyataan Tun Dr Mahathir akan ada perbincangan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan PAS pada Februari depan, Dato’ Seri Abdul Hadi berkata PAS sedia berbincang.

“Perbincangan boleh buat perbincangan. Tapi, PAS ada dasar dia, ada prinsip dan matlamat dia (parti).

“Memanglah dalam negara demokrasi kita kena bincanglah. Orang datang takkan kita nak tolak, kita dengarlah,” ujarnya.

Menurutnya, PAS mempunyai dasar, prinsip dan matlamat yang jelas menjadi asas kepada perbincangan dengan mana-mana parti politik.