HMM5K Pencetus Kebangkitan Wanita Muda Malaysia

2123

Oleh : Sumaiyyah Zakaria

Pada tanggal 21 Januari 2017, Dewan Muslimat PAS Malaysia bakal melakar sejarah untuk julung kalinya dengan menganjurkan Himpunan Muslimat Muda (HMM5K) di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Himpunan ini dijadualkan bermula pada seawal jam 8.00 pagi sehingga 5.30 petang.

Peserta himpunan tersebut dibuka penyertaannya kepada seluruh wanita muda Malaysia dan tidak ketinggalan juga 3 entiti utama di dalam Dewan Muslimat PAS Malaysia, iaitu Ameerah, Briged Muslimat dan Nusaibah.

Antara objektif penganjuran Himpunan Muslimat Muda (HMM5K) adalah :

1) Mengumpulkan tenaga muslimat muda bagi memberi kefahaman tentang agenda muslimat PAS untuk istiqamah dalam gerak kerja siasah melalui medan tarbiyyah, dakwah dan kebajikan

2) Menyatukan fikrah muslimat muda melalui pengisian minda dan rohani

3) Mengetengahkan ikon-ikon muslimat muda PAS

Pengisian menarik telah diatur sepanjang program HMM5K ini termasuklah pentas pidato, yang mana menampilkan pemidato-pemidato yang berkaliber dari kalangan muslimat muda dari seluruh Malaysia, Kempen PAS PILIHANKU, pembentangan kertas kerja dan kemuncak program iaitu ucaptama khas serta perasmian oleh Presiden PAS merangkap Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Diharapkan agar program Himpunan Muslimat Muda (HMM5K) pada kali menjadi pencetus dan pemangkin kebangkitan kepada wanita muda Malaysia seterusnya mencapai objektif serta matlamat yang digariskan oleh Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Selain itu, muslimat muda diseru untuk berani bangkit bersuara dan membuat transformasi bagi menyambung legasi perjuangan menjelang PRU ke-14 yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Mujahidah Pahlawan Kasih Sayang
Yang Berjuang Agar Islam Dijulang
Keluarga Medan Permulaan
Muslimah Obor Perjuangan”