Oleh : MNA [Qatar]
Satu lawatan ringkas oleh rombongan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bertujuan merapatkan silaturrahim dan mengadakan program penerangan kepada pendokong dan penyokong PAS serta rakyat Malaysia ke Timur Tengah telah berlangsung minggu lalu.


Lawatan selama empat hari bermula 23 Disember itu, meliputi tiga negara iaitu Qatar, Bahrain dan juga Emiriah Arab Bersatu.
Dalam masa yang sama, pihak tuan rumah juga menyediakan beberapa program penerangan ringkas bagi mengambil peluang kehadiran mereka untuk mendengar sendiri penjelasan beberapa isu negara dan juga PAS.
Ahli dan penyokong PAS di sekitar Timur Tengah sememangnya menantikan kehadiran pimpinan PAS bagi mendengar sendiri kesahihan maklumat terutamanya berkenaan isu halatuju BPMS PAS dan kehadiran Presiden PAS ke Tehran untuk membincangkan masalah peperangan di Syiria.


Walaupun lawatan ini hanya lawatan ringkas, namun penyokong dan ahli PAS berpuashati dengan kehadiran wakil DPPM ini dan bersedia bagi menerima lagi kunjungan-kunjungan dari pimpinan PAS di masa akan datang.
Ini adalah lawatan bagi siri pertama dan DPPM akan berusaha untuk mengadakan lagi lawatan ke negara lain di Timur Tengah seperti Arab Saudi, Oman dan mungkin juga Kuwait bagi menyantuni pendokong dan penyokong PAS serta rakyat Malaysia yang bertugas di sana.






























