Dalam ilmu politik antarabangsa, kaedah rundingan, diplomasi, perjanjian adalah antara instrumen penting dalam menyelesaikan sesuatu konflik yang berlaku. Bukan mudah untuk menyatukan pihak yang bertelagah apatah lagi membawa mereka duduk semeja berbincang dan menghasilkan resolusi persepakatan bersama.
Konflik di Syria sudah berlarutan sehingga enam tahun lamanya telah mengorbankan ratusan ribu nyawa, jutaan manusia menjadi pelarian, kemusnahan tempat tinggal dan segala infrastruktur awam. Siapa kesemua mangsa ini.?
Mereka adalah ummat Islam yang menjadi mangsa pertempuran yang dikatakan perang sektarian Sunni vs Syiah, atau juga perang proksi antara Blok Amerika vs Rusia.
Kaedah revolusi iaitu mengangkat senjata bagi menentang pemerintah yang zalim adalah kaedah yang begitu berisiko kerana ia akan melibatkan orang awam menjadi mangsa korban. Si rejim yang zalim akan menggunakan segala jentera kerajaan bagi mempertahankan kuasanya manakala si penentang pula berusaha memerangi kerajaan dengan sehabis daya agar matlamat menumbangkan rejim berjaya.


Eh, bagaimana pula Turki yang sejak sekian lama terlibat dalam membantu usaha menjatuhkan Presiden Basyar Assad boleh berubah pendirian bloknya.?
Inilah yang dinamakan ilmu geopolitik antarabangsa yang bukanlah mudah difahami seperti status Facebook dan sebaran mesej Whatsapp.
Dalam rundingan di Moscow itu, ia melibatkan 3 buah negara iaitu Turki, Iran dan Rusia. Ini bagaikan tamparan yang hebat kepada Amerika Syarikat yang tidak pun dijemput menyertai perbincangan tersebut. Umum mengetahui, Rusia (Soviet Union) adalah musuh ketat Amerika Syarikat semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua yang diikuti dengan Perang Dingin (Cold War) antara Blok Timur dengan Blok Barat.
Kedua-dua blok ini sentiasa saling bersaing bagi memperluaskan hegemony (dominasi) dan supremacy (penguasaan) masing-masing dalam apa jua konflik yang berlaku.
Selain Amerika dan Rusia, 3 lagi negara yang mempunyai kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB ialah United Kingdom, China dan Perancis. Negara kuasa veto ini mempunyai kuasa besar bagi menyokong, menolak mahupun berkecuali dalam sebarang resolusi yang dihasilkan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Sebagai contoh terbaru, Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Presiden Obama membuat kejutan di penghujung pemerintahannya dengan mengambil pendirian “Berkecuali” sehingga membolehkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengecam pembinaan penempatan haram Israel berjaya diluluskan dengan sokongan 4 lagi negara kuasa veto, dan 10 negara ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB. Malaysia yang bersama dengan New Zealand, Senegal dan Venezuela adalah negara yang mengusulkan draf resolusi tersebut.
Sebelum pada itu, pada 19 Disember 2016 Majlis Keselamatan PBB juga telah sebulat suara meluluskan resolusi Aleppo iaitu khusus bagi misi kemanusiaan dan menghantar pasukan pemantau PBB ke Aleppo.Situasi menjadi kian meruncing apabila rejim Basyar Assad berjaya menawan kembali Aleppo, bandar terbesar di Syria daripada penguasaan kumpulan penentang.
Turki merupakan negara jiran kepada Syria. Negara tersebut telah memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa pelarian yang datang melalui sempadannya. Semestinya, apa jua langkah yang diambil Turki turut memberikan impak dalam penyelesaian konflik ini. Sejak akhir-akhir ini khususnya pasca cubaan rampasan kuasa di Turki, Presiden Erdogan mula menukar rentak dengan cuba berbaik dengan Blok Rusia dan agak menjauhi Amerika Syarikat.


a) menghormati kedaulatan Republik Arab Syria sebagai sebuah negara demokratik sekular yang berbilang kaum,agama, dan semazhab.
b) Ketenteraan (perang) bukanlah penyelesaian kepada konflik di Syria
c) kepentingan mempercepatkan usaha gencatan senjata dan misi kemanusiaan
d) kesediaan menjadi fasilitator dan penjamin bagi perjanjian antara pihak Kerajaan dan kumpulan Penentang. Mereka menjemput negara lain yang berpengaruh turut berusaha bersama.
e) mengalukan usaha bersama di Timur Aleppo bagi membolehkan pemindahan sukarela orang awam dan kumpulan penentang bersenjata. Mereka juga mengalukan pemindahan sebahagian orang awam dari Fuaa, Kafraia, Zabadani dan Madaya.
f) berkeyakinan bahawa Perjanjian ini akan memainkan peranan penting untuk mewujudkan momentum yang diperlukan untuk menyambung semula proses penyelesaian politik di Syria selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB 2254.
g) mengambil perhatian terhadap tawaran Presiden Kazakhstan untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat yang berkaitan di Astana.
h) menegaskan kesungguhan untuk memerangi bersama kumpulan ISIL / Daesh, Al-Nusra dan untuk memisahkan mereka daripada kumpulan pembangkang bersenjata.
Persepakatan di atas adalah antara Turki, Iran dan Rusia. Tidak ada lagi ke yang mahu bertanya dan mempertikai mengapa Turki, negara majoriti Sunni boleh duduk berunding semeja dengan Iran, negara majoriti Syiah.?
Inilah dinamakan dunia politik, tidak sefahaman bukannya bermakna tidak boleh berunding langsung, tidak boleh bersalam dan tidak boleh duduk semeja.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkepakaran dalam geopolitik antarabangsa, berpengalaman luas terlibat dalam pelbagai usaha rundingan damai di peringkat antarabangsa.
Cuma, kita yang tidak tahu rekod tersebut kerana beliau insan yang merendah diri dan tidak mengejar populariti.
Jikalau kita tidak berkepakaran seperti orang yang sedang berusaha mencari jalan penyelesaian, usahlah kita sekadar menjadi pakar pengkritik di FB sahaja.
Tunjukkan keberanian dengan masuk ke alam dunia politik sebenar kerana manakan sama orang yang berada di lapangan dengan orang yang berada di tepian.
Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
27 Disember 2016





























