Likulli Ta’khirah Fiha Khirah (Pada Setiap Penangguhan Itu Ada Kebaikan) – Siri 4

1580

Oleh : Wan Sukairi Wan Abdullah

Sebaik sampai ke rumah Habib Ali Al-Jufri saya terus tidur dengan penuh kepuasan dan gembira. Pagi esoknya selepas solat subuh berjamaah saya dihidangkan sarapan yang sangat lazat.

Sebenarnya turut bersama saya tinggal di rumah Habib Ali Al-Jufri ialah dua orang lelaki daripada Yaman yang memang tinggal di sini sebagai pembantu Habib Ali. Dua orang ini agak lucu orangnya. Pernah sewaktu kami bertiga mendengar kaset ceramah seorang Syeikh Habib, penceramah itu apabila menyebut nama Baginda Nabi SAW terus menangis selama beberapa minit, agak lama juga sebenarnya beliau menangis. Selepas habis menangis sekitar lima minit baru dibacanya hadis Baginda Nabi SAW. Selepas disyarahnya hadis itu, dia menyebut hadis yang lain pula. Bila disebut nama Nabi SAW, dia menangis lagi, sepanjang ceramah hampir satu jam itu banyak dan lama sungguh dia menangis sehingga sahabat Yaman ini berkata kepada saya, “apalah syeikh ini, banyak menangis daripada ceramah,”. Saya hanya ketawa.

al-jufriBanyak juga kenangan saya bersama Habib Ali-Al Jufri. Selama 14 hari di rumahnya, saya banyak bersembang dengan beliau, kadang kadang ketika bersama beliau, selalu panggilan telefon berbunyi, panggilan itu datang dari seluruh dunia, dari China, Amerika, England dan macam macam lagi. Ada yang menelefon untuk bertanyakan soalan dan ada juga yang hanya sekadar untuk mendengar suara Habib Ali Al-Jufri.

Saya juga keluar bersama beliau mengunjungi sahabat sahabat beliau di serata Arab Saudi. Apa yang menarik ialah sepanjang perjalanan kami dengan kenderaan, kami diminta untuk berzikir kepada Allah, jarang sangat berbual kosong. Apabila tiba di rumah rumah sahabat beliau, kami akan duduk dalam keadaan bulatan, Kemudian salah seorang dari kami akan membacakan zikir, qasidah dan ibtihalat. Saya masih ingat antara ibtihalat yang selalu mereka sebut sehingga melekat dalam kepala saya ialah yang menyebut;
“Qad kafaani ilmu rabbi, min suaali wakhtiyaari…….”

Kemudian kami dijamu makan oleh tuan rumah dan kemudian kami pulang dan pergi ke rumah sahabat yang lain pula dan cara yang sama juga dilakukan oleh kami. Perjalanan kami setiap hari dipenuhi dengan zikir, ibtihalat dan mengagungkan Allah serta kasih dan rindu pada Baginda Nabi SAW. Tiada peluang untuk ‘lagha’. Sejujurnya saya rindu dengan suasana seperti itu.

aljfriSelepas beberapa hari di rumah Habib Ali Al-Jufri, saya ke bandar Jeddah dengan kereta yang telah disediakan untuk ‘reconfirm’ tiket pulang saya ke tanahair. Insyaallah saya dijadualkan pulang lusanya.
Tanpa sedar masa berlalu, kerana terlalu seronok tinggal di sana, kini tibalah masanya saya pulang ke tanahair. Selepas mengucap selamat tinggal kepada Habib Ali Al-Jufri atas layanannya kepada saya, juga kepada dua sahabat dari yaman yang bersama saya di rumah itu, Saya pun di hantar ke ‘airport’ Jeddah.

Sampai saja di lapangan terbang, saya terus menuju ke kaunter untuk ‘check-in’. Halangan pertama saya lepas, saya dah boleh terbang, ‘boarding pass’ sudah di tangan. Saya dalam keadaan berdebar terus menuju laju ke balai berlepas, di situ saya perlu melalui satu lagi halangan iaitu pemeriksaan imigresen.

Tiba giliran saya, terus saya hulurkan paspot dan ‘boarding pass’, pegawai imigresen itu memandang saya beberapa kali sambil melihat dan memeriksa ‘paspot’ saya banyak kali, degupan jantung saya begitu deras. Tuhan saja yang tahu betapa bimbangnya saya ketika itu.

Tiba Tiba pegawai imigresen itu berkata,”Enta mamnu’safar!! (kamu tidak dibenarkan meneruskan perjalanan)
Bagai nak luruh jantung saya mendengar kalimah itu…………..!

3432540Saya bertengkar dengan pegawai imigresen itu. Saya tak puas hati mengapa saya di larang untuk pulang. Pegawai imigresen itu menyatakan yang dia tak pernah melihat passport seumpama itu. Saya menerangkan apa yang berlaku dan apa arahan pegawai imigresen sebelum ini untuk saya lakukan bagi membolehkan saya pulang. Semua itu telah saya lakukan.

Dia tetap tegas tak benarkan saya pulang. Akhirnya saya mengalah.

Saya melangkah dengar longlai keluar dari Balai berlepas menuju ke kerusi di luar Airport. Saya tunduk kecewa dengan apa yang berlaku. – bersambung…….