Sidang DUN : Apa Nasib IQT?

4923

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Nasib Institut Al-Quran Terengganu (IQT), pelajar serta kakitangannya yang tidak menentu kerana perancangan yang tidak jelas oleh kerajaan negeri, disuarakan oleh wakil Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Mohd Nor HamzahSebelum ini, kerajaan telah merancang mahu membuat pengambilan pelajar-pelajar tingkatan empat bagi mengumpulkan pelajar-pelajar cemerlang dalam bidang tahfiz dan agama di negeri Terengganu di Maahad Tahfiz al Quran Padang Midin.

Kemudian, ia ditukar kepada IQT, dan sekarang kerajaan berusaha untuk menjadikannya Kolej Al-Quran Terengganu (KQT), menambahkan lagi kekeliruan kepada mereka yang terlibat, sedangkan rancangan tahfiz itu masih kabur.

Persoalan beliau ialah adakah IQT akan dihapuskan dengan wujudnya perancangan mengadakan KQT ini?

Bagaimanakah pula nasib guru-guru IQT jika penaikan taraf kepada kolej dilakukan segera, adakah kelayakan mereka sekarang ini diterima dan pihak manakah yang akan menguruskannya, kerajaan atau swasta?

pelajar IQT
….pelajar dan guru IQT…..apakah nasib mereka selepas ini?

Dengan peruntukan hanya RM10 ribu yang dinyatakan diperuntukkan kepada IQT, beliau meminta penjelasan kerajaan kerana menurut beliau, jumlah itu terlalu kecil bagi sebuah institusi.

“Hanya saya mahu tahu, apakah KQT ini menunjukkan bahawa akan hilang IQT yang sebelum ini memberi ruang kepada pelajar-pelajar untuk menjadi golongan tahfiz pada tingkatan empat dan tingkatan lima.

“Apakah dengan adanya KQT ini, dengan sendirinya KQT hanya berbincang, menguruskan dan beroperasi tentang diploma?
Kemudian dengan waktu yang sama dan keistimewaan yang sebelum ini yang memberi ruang kepada pelajar tahfiz bagi pelajar tingkatan empat dan lima hilang?

Mohd Nor Hamzah1“Dan diwaktu yang sama, saya juga mahu tanya, apakah masa depan guru-guru IQT yang ada pada hari ini? Apakah semua mereka akan diserap dalam KQT?

“Dan adakah KQT ini yang duduk dibawah institusi pengajian swasta, akan diuruskan berasaskan kaedah penswastaan atau memang diurus sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” soal beliau.

Perbahasan Bajet 2017 oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu, sebahagian besarnya menyentuh berkenaan pendidikan negeri Terengganu yang beliau sifatkan sedang mengalami kesuraman.

Antara persoalan beliau ialah berkaitan dengan pembinaan asrama Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang menjadi tanda tanya kerana rakyat Terengganu sudah maklum bahawa Kusza telahpun diganti dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Dakwa beliau, sebanyak kira-kira RM88 juta diperuntukkan bagi pembinaan asrama itu, maka beliau mahukan kepastian samada ianya dibawah Kusza atau Unisza dan semestinya jika dibawah Unisza, kerajaan Pusat yang harus membiayainya.

https://youtu.be/31xJQPH5Xv4