Tumpu ‘Serius’ Pengkalan Berangan

2358

Oleh : MNA

MARANG – PAS Kawasan Marang ketika ini sedang menumpukan usaha secara serius bagi memenangi hati pengundi di DUN Pengkalan Berangan dengan menjadikan DUN itu sebagai kerusi sasaran yang akan diambil dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

DSC_1041Kesungguhan merampas kembali DUN itu dari Umno, jelas dizahirkan oleh pimpinan PAS tersebut dengan sentiasa merancang dan mengadakan program-program kemasyarakatan secara berkala, intensif dan agresif.

Antara program tersebut yang terbaharu ialah Karnival Dakwah PAS Kawasan Marang yang telah diadakan di di PASTI al-Jannah, Kampung Jerung Surau, Pengkalan Berangan, Marang.

Program selama dua hari yang berakhir Sabtu itu, telah berjaya menarik ribuan pengunjung jauh dan dekat termasuk pengunjung dari kalangan ahli Umno yang tinggal di sekitarnya.

Menurut Pengarah program, Ustaz Ahmad Maarof Ismail, tujuan utama program ini dijalankan ialah bagi menghubungkan kepimpinan PAS Marang dengan penduduk setempat terutama mereka yang memerlukan bantuan.

DSC_1092
…….fokus utama Pengkalan Berangan kata Ahmad Maarof

Atas nama ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’, semua lapisan masyarakat samada dari parti lawan, golongan muda yang telah sedia ada dekat dengan PAS sebelum ini, akan dieratkan lagi melalui karnival ini.

“Program ini adalah kali pertama yang diadakan dengan tujuan menjadikan fokus utama Pengkalan Berangan sebagai salah satu kerusi yang akan dimenangi PAS dalam PRU yang akan datang.

“Disamping itu juga, karnival ini turut bertindak sebagai salah satu cara mengemaskan jentera PAS bagi menarik semaksima mungkin pengundi-pengundi dengan menemui sendiri masyarakat bawahan, malah ahli Umno juga ada yang datang,” jelas Ustaz Ahmad Maarof.

DSC_1036Tambah beliau lagi, program ini bukan bersifat setempat kerana beberapa hari sebelum program ini dirasmikan, telah diadakan siri kuliah-kuliah di lebih 90 buah masjid dan surau di sekitar Marang.

Turut memerah keringat bagi menjayakan program ini ialah Muslimat PAS Marang yang diketuai oleh Hajah Zarani Othman yang turut bersama-sama pimpinan muslimat lain menziarahi lebih 50 buah rumah di sekitar kawasan program.

Gerai-gerai jualan turut dibuka untuk jualan selain daripada kaunter-kaunter daripada agensi kerajaan yang turut dijemput bagi memberikan penerangan kepada masyarakat berkenaan kesihatan dan juga keselamatan.

Pada sebelah malam pula, diadakan ativiti kesenian Islam yang menampilkan artis jemputan seperti Ali XPDC dan artis-artis dakwah setempat.

DSC_1021Manakala Pengarah Majlis Tindakan DUN Pengkalan Berangan,Ustaz Sulaiman Sulong pula melahirkan perasaan gembira dengan kejayaan program ini dan yakin PAS akan dapat merampas Pengkalan Berangan dalam PRU nanti.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang turut percaya yang sokongan golongan muda kepada PAS semakin meningkat.