Di Manakah Silapnya???

1755

Oleh : Wan Sukairi Wan Abdullah

Pagi ini dua orang wanita pertengahan umur datang ke Pejabat Pas Negeri Terengganu mengadu perlukan bantuan kewangan segera dan Jumlah yang diperlukan agak banyak, hampir RM5,000.

Rupanya beliau membuat pinjaman dengan along. Bukan seorang, tapi 9 orang along. Saya tanya beliau berapa jumlah pinjaman asalnya? Jawab wanita malang tadi, dia berhutang RM20, 000.00 tapi jumlah yang perlu dibayar sekarang melebihi RM50,000.00

Saya tanya lagi, berapa jumlah yang perlu dibayar dan berapa tempoh masa. Beliau kata, dia perlu membayar RM500 setiap hari dan jika gagal membayarnya pada hari itu, maka akan didenda RM300 sehari.

Saya mengucap panjang. Yang malang lagi ialah wanita ini baru bercerai 2 bulan lalu dan katanya sekarang beliau seorang sahaja yang menanggung beban hutang ini sedangkan sebelumnya suaminya turut membantu.

 

Along-Iklan-TampalSaya bertanya lagi, mengapa buat pinjaman itu? Katanya, untuk modal perniagaan. Saya tanya lagi, semasa membuat hutang itu, sedar atau tidak risiko ini? Bagaimana boleh bayar RM500 sehari sedangkan hanya bergantung dengan hasil jualan kuih muih sahaja? Pada ketika ini, wanita itu hanya mengeluh, tidak terjawab soalan saya.

Beliau menyatakan yang dia sangat terdesak hari ini kerana along telah menggugutnya akan ke rumahnya jika gagal membayarnya RM4, 500 pada hari ini juga. Beliau telah berjumpa ramai wakil rakyat termasuk Menteri Besar untuk menyelesaikan masaalahnya.

Saya sangat bersimpati dengan nasib beliau. Kami hanya membantu seadanya sahaja. Setelah wanita itu pulang, saya berfikir bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Adakah ianya kelemahan pihak berwajib dalam menyediakan peluang modal kepada rakyat?

Adakah kerana nafsu yang mahu mendapatkan sesuatu dengan mudah tanpa fikir akibatnya?

Adakah kerana kaum keluarga juga tidak dapat menolong?

Adakah telah hilang sifat pemurah dikalangan rakan dan sahabat handai?

Adakah tiada lagi manusia yang boleh dipercayai sekarang?

Adakah kerana terlalu inginkan kemewahan segera?

Di mana silapnya??????