Bajet Pilihan Raya Penaik Imej BN

1643

KUALA NERUS – PAS Terengganu menyifatkan Bajet 2017 yang baharu diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak itu sebagai ‘Bajet pilihan raya’ Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata Bajet 2017 itu adalah bajet pilihan raya bagi menaikan imej Najib dan parti Barisan Nasional.

Menurutnya, rakyat dan para pengundi ‘digula-gulakan’ dengan janji-janji manis parti pemerintah Umno-BN.

kam3703(b)-bajet2“Ini bajet pilihan raya untuk menaikan imej Najib dan parti Barisan Nasional sahaja, untuk (naik) populariti pemimpin Umno itu.

“Rakyat dan pengundi-pengundi diberi dengan janji-janji manis dalam Bajet 2017,” ujarnya ketika berucap pada Himpunan Mujahidah 4 Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq), Kuala Nerus, Sabtu 22 Oktober.

Hadir sama pada himpunan itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman, Setiausaha PAS Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang dan Ketua Muslimat PAS Kuala Nerus, Hajah Jamilah Jusoh.

Dr Alias selaku Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kuala Nerus menegaskan pembentangan Bajet 2017 itu sebagai ‘signal’ Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan diadakan lebih awal.

Bahkan, katanya kemungkinan juga itu merupakan bajet terakhir Dato’ Seri Najib dan kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihan raya.

kam3703(c)-bajet3“Kita (PAS) harap semua jentera parti disemua peringkat bersiap siaga. Ini (bajet) signal kepada kita bahawa PRU14 akan diadakan lebih awal.
“Saya jangka pilihan raya akan diadakan selewatnya bulan Jun tahun depan (2017). Ini mungkin bajet terakhir Najib dan BN sebelum pilihan raya akan datang,” tegasnya dihadapan lebih 500 petugas parti muslimat.

Justeru, katanya Muslimat PAS perlu meningkatkan kerja-kerja parti secara luar biasa dalam tempoh masa enam bulan ini.

“Muslimat, muslimat, pemuda dan ulamak kena kerja kuat. Setiap hari kita (PAS) kena kerja. Masa ada enam bulan lagi dari sekarang.

“Kita (PAS) kena buat kerja luar biasa untuk tarik pengundi-pengundi bersama dengan PAS, Insya’Allah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal.

Menurut Dr Alias, pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) kini telah selesai melawat 23 dari 32 kawasan Dun di negeri ini bagi meninjau persiapan jentera pilihan rayanya.