PAS Sedia ‘Hilang’ Rakan Politik Demi Islam

2167

Oleh : KAM

KEMAMAN – PAS sebagai sebuah parti politik yang bertunjangkan Islam sedia ‘kehilangan’ rakan politiknya DAP demi mempertahankan Islam.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata PAS akan terus istiqamah dengan Islam meski pun bakal kehilangan rakan politiknya.

ikrar pemudaJusteru, katanya sokongan anak-anak muda kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga semakin meningkat dengan ketegasan itu.

“Demi untuk memartabatkan Islam, kita (PAS) sanggup kehilangan kawan politik kita. Ada orang kata PAS tak cerdik putus dengan DAP dan PAS tidak akan dapat sokongan orang bukan Islam, kaum Cina, kaum India khususnya di negeri-negeri pantai barat.

“Kita (PAS) nyata dan tegaskan PAS lebih sayangkan Islam dari rakan politiknya. Kita sanggup meninggalkan kawan politik kita kerana kita sayangkan Islam.

“PAS akan terus istiqamah dengan Islam. Bila kita nyatakan pendirian yang tegas ini, orang lihat PAS tidak berganjak, sokongan kepada PAS semakin meningkat kerana Islam ini daripada Allah SWT. Allah Maha Hidup dan sesiapa yang membawa (perjuangan ) Islam tidak akan mati,” tegasnya.

Beliau berkata demikin ketika merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2016, di Dataran Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.4 di Pekan Kemasik, Kemaman, hari ini.

https://youtu.be/tb4sIsGvQwE

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti Islam akan meletakkan Islam dihadapan dalam usaha memartabatkan agamaNya.

Namun, katanya PAS tidak pula meninggalkan isu-isu semasa lain kerana agama Islam mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Kita (PAS) sebagai sebuah parti Islam, kita meletakkan Islam di hadapan dan usaha yang kita lakukan ini untuk memartabatkan Islam.

“Bila kita bercakap soal RUU 355 bukan bermakna kita lupa isu-isu lain. Kita tidak lupa dengan isu-isu lain kerana kita sebagai sebuah parti Islam bukan sahaja mengajak kepada kebaikan tapi dalam masa yang sama untuk mencegah kemungkaran.

DSC_0371“Kemungkaran politik yang berlaku dalam negara kita seperti salahguna kuasa, pembaziran, ketirisan dan rasuah. Kita berterusan bercakap isu-isu ini.

“Alhamdulillah, sokongan kepada PAS makin hari makin meningkat. Anak-anak muda dari seluruh pelusuk negara, yang hari ini celik IT (teknologi maklumat) dan mereka boleh lihat, boleh baca, boleh menilai berita-berita dalam handphone masing-masing,” jelasnya dihadapan lebih 5000 hadirin.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan ramai lagi.