Oleh : Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali
Kerajaan menerusi majlis agama Islam negeri masing-masing agar dapat menghidupkan fungsi masjid dan surau sebagai pusat kebajikan umat.
Kedua-dua institusi Islam itu, di samping fungsinya sebagai pusat ilmu dan ibadah, ia juga perlu dihidupkan dengan peranan sebagai institusi yang menaungi kebajikan masyarakat setempat.
Ia sangat sesuai kerana selalunya masjid dan surau mendapat kepercayaan masyarakat bagi mengumpul zakat dan sumbangan daripada mereka yang berkemampuan.
Sebahagian orang miskin ini memerlukan tempat perlindungan, sebahagian mereka memerlukan bantuan keperluan makanan seharian dan ada pula yang memerlukan bantuan dari sudut keperluan pendidikan.
Masjid boleh berperanan memberikan bantuan segera bagi mengelakkan karenah birokrasi pentadbiran kerajaan dalam mendapatkan bantuan.
Seorang yang memerlukan bantuan segera bagi anak kecil yang sedang kelaparan tidak memungkinkan mereka untuk ke pejabat-pejabat kerajaan mengisi borang mengharapkan bantuan yang tidak diketahui entah bila akan diluluskan.
Jawatankuasa masjid setempat lebih memahami, mengetahui dan mengenali serta boleh mengesahkan status sebenar ahli qaryah mereka yang sememangnya memerlukan bantuan.
Berbeza dengan pegawai dari jabatan kerajaan yang memerlukan masa untuk menyelidiki dan mengesahkan keperluan sebenar seorang miskin kerana pegawai itu bukan seorang anggota masyarakat setempat dengan orang yang memerlukan bantuan itu.
Justeru itu, Islam telah menyediakan sistem pemusatan komuniti yang sangat menarik menerusi institusi masjid dan surau.
Ianya adalah institusi terawal dihidupkan oleh Rasulullah SAW sebaik sahaja hijrah baginda ke Madinah.


Ia juga menjadi medan pertemuan masyarakat Islam yang bersifat harian menerusi solat berjamaah lima kali sehari semalam dan bersifat mingguan menerusi solat Jumaat.
***Ustaz Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ialah Ahli Majlis Syura Ulamak yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus






























