Oleh : Dr. Md Arif bin Ibrahim
Fakta terkini dari Jabatan Pendaftaran Negara berkaitan dengan jumlah pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf amat mencemaskan kita. Mengikut laporan berkenaan, seramai 159,725 anak tidak sah taraf telah didaftarkan sejak tahun 2013-2015, yang hanya melibatkan wanita Islam sahaja kerana tiada taraf sedemikian pada bukan Islam.
Mengikut rekod, jumlah tertinggi ialah pada tahun 2014, iaitu seramai 54,614 orang yang telah didaftarkan.
Dengan purata 6 kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan bagi setiap satu jam, sekali lagi ini adalah data yang amat membimbangkan kita, tambahan pula ianya melibatkan wanita Islam.
Laporan ini sudah tentunya tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan di dada-dada akhbar. Mengikut statistik dari PDRM, sebanyak 53 kes buang bayi direkodkan dari bulan Januari-Julai 2014, dengan 38 kes ditemui bayi sudah mati dan 15 bayi masih hidup. Walaupun terdapat sedikit penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2013, tetapi ianya adalah gejala serius yang perlukan perhatian dan tindakan.
Banyak faktor boleh dikaitkan terhadap masalah zina ini seperti kurang didikan agama, kurang perhatian yang sebaiknya dari keluarga masing-masing, pengaruh persekitaran, pergaulan bebas dan lain-lain boleh merangsang ke arah itu.
Ini juga termasuk pengaruh media massa seperti televisyen, majalah-majalah kegilaan para remaja, program-program hiburan yang melampau, konsert-konsert yang tiada batas tatasusila pergaulan, laman sesawang lucah dan lain-lain yang tiada sekatan dan kawalan undang-undang yang praktikal.
Di samping faktor-faktor tersebut, kementerian-kementerian seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran dan lain-lain yang berkaitan mesti memainkan peranan. Satu usaha bersama harus dibuat untuk merangka dan melaksanakan program-program remaja/ belia berbentuk kesedaran akhlak, keagamaan, kekeluargaan secara berkala, termasuk menitik beratkan pendidikan Islam dalam korikulum pendidikan.
Bersepadu dengan saranan-saranan di atas, penguatkuasaan undang-undang syariah adalah sangat penting. Undang-undang adalah umpama pagar terakhir bagi membendung kesalahan. Setelah semua usaha dari aspek yang lain dilakukan, tetapi kesalahan tertentu masih berlaku juga, maka tidak dapat tidak undang-undang perlu memainkan peranannya.
Perkembangan terbaru menyaksikan terdapat usaha yang sangat baik ke arah itu dengan cadangan pindaan akta 355 (RUU pindaan akta 355) di parlimen bagi memperkasakan kuasa mahkamah syariah. Ini adalah suatu langkah yang positif bagi membendung gejala di atas dan wajib disokong oleh setiap muslim demi menjaga maslahah umat Islam dan kesejahteraan negara.
RUU 355 ini tiada kaitan dengan orang bukan Islam dan ia amat bertepatan dengan keadaan sekarang di mana gejala di atas sudah semakin tidak terkawal. Tiada yang tidak kena dengan usul ini dan tidak seharusnya menjadi polemik dan pertikaian apatah lagi penentangan oleh orang bukan Islam kerana ia hanyalah untuk umat Islam sahaja. Adalah amat mendukacitakan jika polemik ini ditimbulkan pula oleh orang Islam sendiri.
Kami melihat apa yang ditegaskan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri dalam Bayan Linnas siri ke 67 yang menyeru semua ahli parlimen muslim agar memberi sokongan kepada RUU 355 ini tanpa mengira fahaman politik adalah tepat. Sudah sampai masanya kuasa Mahkamah Syariah dipertingkatkan setelah berpuluh tahun kuasanya berada lebih rendah dari Mahkamah Majistret dan tidak pernah dibuat semakan sedangkan agama persekutuan bagi negara ini ialah Islam.
Sehubungan dengan tujuan tersebut, sebarang sentimen dan kepentingan politik haruslah diketepikan. Ahli politik sepenuh masa tidak perlu 24 jam berpolitik dan mempolitikkan isu ini hanya semata-mata ingin mencapai kepentingan politik masing-masing. Tiada guna mencapai cita-cita politik tetapi akhirnya agenda untuk memartabatkan syariat demi kesejahtetaan umat dan negara dikesampingkan.
Akhirnya kami NGO Kluster Kebajikan negeri Terengganu memberi sokongan padu kepada sebarang usaha untuk memartabatkan syariat termasuk RUU pindaan akta 355 ini dan menyeru agar sebarang salah faham dan kekeliruan diselesaikan dengan dialog, perbincangan, forum ilmiah dan sebagainya tanpa dibatasi oleh emosi atau sentimen kepartian. Sesungguhnya kami melihat benteng terakhir bagi membendung gejala yang sangat meruncing ini adalah perundangan itu sendiri dan sebaik-baik penyelesaian terhadap masalah syariah adalah melalui Mahkamah Syariah.
***Dr. Md Arif bin Ibrahim ialah Pengerusi NGO Kluster KebajikanKonngres Rakyat Negeri Terengganu.






























