Oleh : Sheikh Hanafi A. Aziz
Merujuk kepada Kajian Semula persempadanan bagi dun dan parlimen di seluruh Malaysia beserta dengan cadangan yang mula dipamerkan Khamis tempohari, amat mendukacitakan rakyat jelata. Ia menyerlahkan betapa SPR sangat tidak berintegriti. Masih kekal dan rela menjadi barua dan kuda tunggangan Barisan Nasional untuk terus berkuasa.
Penerapan praktis ‘Gerrymandering’ yang sangat tidak bermoral dan licik melalui cadangan ini merupakan penyalahgunaan kuasa dan ‘perogolan’ terhadap konsep kebebasan memilih dan bercanggah dengan aspirasi semasa sebahagian besar rakyat.


Asas asas seperti rasionaliti jumlah pemilih, keluasan, sempadan pentadbiran dan kebolehupayaan khidmat wakil rakyat (Ahli Parlimen/Adun) kepada pengundi yang sepatutnya menjadi pertimbangan utama SPR dalam merangka cadangan bagi kajian ini lenyap sama sekali kerana sanggup memuaskan serakah nafsu pemerintah. Justeru kita melihat terdapat banyak cadangan tersebut langsung tidak munasabah bahkan seolah olah disiapkan oleh jawatankuasa pilihanraya BN dan SPR hanya menjadi ‘rubber stamp’ sahaja.
Kendati pun ada masa dan ruangan untuk dibantah cadangan tersebut, namun melihatkan sejarah lampau SPR yang tanpa malu menjadi jentera simpanan pilihanraya BN, kita bimbang ianya hanya sekadar melengkapkan prosedur semata, lebih lebih lagi cadangan ini hanya memerlukan majoriti mudah di parlimen untuk diwartakan.
Mewakili Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) saya memberi amaran kepada SPR supaya insaf dan menghentikan pencabulan ini, jika tidak kami akan pastikan amarah pemilih dizahirkan dengan bantahan besar-besaran di seluruh negeri Terengganu.


Kepada seluruh warga pemilih Terengganu khususnya kalangan pemuda bersiap siagalah untuk bangkit membantah penyelewangan dan salahguna kuasa ini, cukuplah untuk sekian kalinya memilih untuk sekadar berdiam diri atau leteran di kedai kopi sahaja. Membujur lalu melintang patah, pemuda akan terus maju takkan sekali menyerah.
وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya : “Dan jangan sekali kali kamu merasa lemah dalam mengejar musuhmu ( untuk mengalahkan mereka), jika sekiranya kamu menderita (tatkala bertembung dengan mereka), mereka juga mengalami penderitaan yang sama, (namun apa yang membezakan kamu dan mereka adalah) kamu meletakkan harapan kepada Allah sedangkan mereka tidak, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
***USTAZ SHEIKH HANAFI A.AZIZ IALAH Pengarah Jabatan Pilihanraya DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERENGGANU




























