MARANG – Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah bagi pihak Parti Islam SeMalaysia kepada semua ahli keluarga Allahyarham Dato Dr Haron Din yang telah kembali kerahmatullah pagi ini.
Katanya, allahyarham Dato Dr Haron Din merupakan generasi awal lulusan Islam yang bersama perjuangan Islam PAS.
“Innalillahiwainailahirojiun, bagi pihak PAS, saya ucap takziah kepada ahli keluarga allahyarham, semoga roh beliau di tempatkan bersama para ambia, syuhada dan solehin.
“Beliau merupakan generasi awal yang bersama dengan PAS, generasi awal yang lulusan Islam bersama dengan Profesor Dr Zulkifli Mohamad dan kumpulan Islam.
“Kita harap semua sumbangan dia pada Islam, pada PAS diterima oleh Allah dan segala kekurangan dia diampunkan oleh Allah SWT,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, pagi tadi.
Menurutnya, kira-kira jam 10.10 pagi ini (waktu Malaysia), kami menerima berita bahawa Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din telah kembali ke rahmatillah di Hospital Stanford University US.
Katanya, semoga Allah swt mencucuri rahmatNya dan mengampuni al Marhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh.










