Saya menonton berita pagi ini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpengkalan di Kuala Terengganu menahan 2 lagi kapal nelayan asing di perairan Terengganu. Ramai yg ditahan. Di dalam TV kelihatannya seperti lebih 20 orang nelayan asing
Syabas APMM.
Saya pernah bangkitkan masalah harga ikan yang mahal di pasar pasar Kuala Terengganu.
Respon yang saya terima antara lain berkaitan ikan yg ditangkap nelayan tempatan dijual ke luar terutamanya ke Singapura kerana harga yg lebih baik. Ikan yang dijual di Terengganu diambil dari luar Terengganu.
Pelik tapi benar tetapi begitulah keadaannya. Bukan kerana tidak ada sumber ikan. Tetapi tuaian kita tidak cukup lebihan untuk kegunaan tempatan kerana permintaan tinggi diluar dengan harga yang tinggi adalah pilihan yang lebih menguntungkan nelayan. Manakala tuaian di negeri lain cukup banyak hingga boleh dijual keluar ke negeri Terengganu pula.
Itu belum lagi peranan orang tengah, peraih yang membeli pukal dari nelayan sebaik kapal masuk ke pengkalan. Mereka yang menentukan harga jualan kepada pengguna.
Ringkasnya penghasilan nelayan Terengganu masih sangat kecil.
Selain dari itu pencerobohan nelayan asing yang memerlukan kawalan perairan dipertingkatkan. Perairan kita kaya sumber perikanan. Jika tidak masakan pula nelayan luar sanggup dari jauh menceroboh mencari ikan di perairan Terengganu.
Kita boleh kata mereka tersilap masuk sempadan jika berada di perairan Kelantan. Tapi perairan Terengganu sudah sangat jauh. Itu sengaja namanya.
Pernah dibangkitkan bahawa nelayan asing ini ada yang bersenjata, kasar dan menakutkan nelayan tempatan. Malah dikatakan ada yang pernah berlabuh mendarat dan satu ketika saya terbaca laporan mengganggu penduduk tempatan.
Saya rasa ada beberapa perkara perlu diperhatikan. Dalam pada kejayaan APMM menahan kapal nelayan asing, terdapat lebih banyak yang terlepas.
APMM mungkin masih kekurangan aset yg boleh digerakkan dengan cepat sehingga nelayan asing merasa boleh melepaskan diri.
Selain APMM, kawalan utama perairan negara masih di bawah tanggungjawab Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) yang mempunyai aset lebih lengkap dan meluas.
Setahu saya sudah ada sistem pengesanan radar canggih berpusat seperti Sistem Pengawasan Maritim Malaysia SWASLA yg boleh mengesan pencerobohan. Mungkin ada fungsi tertentu yg boleh dipertingkat. Baru baru ini APMM mula melengkapkan kapal perondanya dengan Infra Red Camera System IRCS yang boleh mengesan perlakuan mencurigakan dalam kapal suspek.
Bilangan kapal peronda perlu ditambah. Kapal yang lama perlu diganti baru. Di pengkalan APMM Kuala Terengganu, yang saya perhatikan kapal kapal peronda utama sudah sangat berusia. Yang dipindahkan dari ajensi seperti TLDM, Polis Marin dan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia.
Sebagai contoh kapal kelas PC yang dulunya milik TLDM (misal KD Kris, Panah, Tombak..). Itu sudah terlalu berusia diperolehi sejak tahu 1960an. Begitu juga kelas PZ dan PX milik Polis Marin. Semua ini diserahkan kepada APMM.
Saya rasa rugi rancangan kerajaan berbelanja lebih RM30 Billion untuk program penggantian 27buah kapal kapal kelas PC TLDM dengan kapal kapal Off Shore Patrol Vessel OPV yang berkos lebih RM1 Billion setiap sebuah. Projek ini bermasalah untuk 6 buah pertama dan mendapat kecaman Jawatankuasa Kira Kira Wang Awam (PAC). Kini dibawah limbungan yang sama cuma ditukar pemilikan, dilaporkan ditambah lagi 6 buah. Sejauh mana ia memberi impak menyeluruh kepada pembangunan industri maritim seperti didakwa sebagai objektif perbelanjaan besar untuk projek ini sangat dipersoalkan. Kerana yang membolot keuntungan hanya kelompok tertentu.
Walau diakui ianya canggih, tetapi sama ada kecanggihan itu sepadan harga dan mencapai maksud perolehannya masih sangat diragui.
Mengapa tidak berbelanja setiap satu billion ringgit untuk mendapat 10 buah kapal peronda yang sedikit lebih kecil dengan kecanggihan yang memadai yang mungkin hanya berkos RM100 juta setiap satu.
Ia lebih baik, boleh diletakkan di lebih banyak lokasi bila kita punya lebih bilangan kapal. Maka jarak untuk bertindak lebih tangkas dan dekat.
Tidaklah sejumlah bilangan besar anggota berada hanya dalam sebuah kapal sahaja dan berada di satu lokasi sahaja pada satu satu masa.
Australia melaksanakan program penggantian kapal tentera lautnya kelas Fremantle yang bersaiz 40 meter panjang dengan kelas Armidale buatan Austal bersaiz 56 meter panjang. Ia berjaya.
Mereka membina kapal pesisir pantai melalui program khas bagi memangkin industri berat ini antara lain melibatkan limbungan seperti Transfield. Mereka berjaya. Industri berkembang selepas itu. Termasuk pembuatan bot bot nelayan yang lebih berkualiti, tingkat produktiviti.
Seperkara lagi yang perlu diperhatikan adalah perlunya penguatkuasa kita mempunyai karakter yang menggerunkan musuh dan penceroboh. Kita selalu mendengar kisah ketegasan dan kerasnya tindakan pengawal sempadan negara negara lain. Orang masih memperkatakan watak kita ‘terlalu lembut’.
Menteri yang berkenaan bertanggungjawab membentuk watak ini.
Kita tidak lupa bagaimana Presiden Indonesia sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bernada keras dan mengancam terhadap penceroboh perairannya.
Tiada salahnya kita menunjukkan watak yang serupa. Bila menteri tunjuk ketegasan dan patriotisma, agensi berkenaan akan lebih lebih lagi bersungguh. Tapi jika tidak diberi galakan dan dorongan, semua akan ‘play safe’. Takut buat silap, baik ala kadar sudahlah.
Isu keselamatan perairan negara bukan berkait soal nelayan dan hasil perikanan sahaja. Ia berkait masalah perlanunan, rompakan dilaut, penyeludupan senjata api, penyeludupan keluar diesel subsidi, permerdagangan manusia, malah sangat menakutkan jika difikirkan keselamatan lebih 200 pelantar pelantar carigali petroleum yang berada nun jauh di perairan Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Sumber utama hasil negara. Aset strategik negara.
Mengapa tidak jadikan sahaja salah satu pelantar carigali itu sebagai pengkalan satellite untuk agensi penguatkuasa seperti TLDM dan APMM? Bukan lagi menunggu mobilisasi aset semata mata dari pengkalan di daratan.
Sekadar pandangan umum saya.
HJ AHMAD AMZAD HASHIM
26HB JULAI 2016





























