Oleh : KAM
MARANG – Majlis Agama Hindu Sangam Terengganu mengadakan lawatan kunjung hormat bertemu dengan Presiden PAS yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Pertemuan santai selama satu jam itu diadakan di kediaman Ustaz Abdul Hadi di Kampung Rusila, sebaik sahaja selesai menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat, di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Seramai enam orang deligasi Hindu Sangam itu diketuai oleh Pengerusinya, Dr Bala Chandran Gopal Krisnan bersama Penasihat Hindu Sangam Terengganu, Mr George Kumar, Dr Kumaren (Setiausaha) serta tiga orang Ahli Jawatankuasa terdiri dari Mr Munusamy, Mr Yogananthan dan Mr Ramachandran.
Dalam pertemuan tersebut pelbagai isu-isu agama berkaitan dengan hak orang bukan Islam, rang undang-undang (RUU) 356, persepsi negatif terhadap Islam, isu kumpulan militan negara Islam (IS), isu kontroversi pendakwah Zakir Naik dan banyak lagi.
Sehubungan itu, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan ribuan terima kasih dengan kesudian rombongan Hindu Sangam Terengganu datang ke rumahnya.
Katanya, pertemuan seumpama ini wajar diadakan selalu dengan mengadakan siri dialog atau perbincangan secara sihat dan matang.
“Terima kasih kerana (Hindu Sangam) sudi datang berkunjung dan tidak menjadi masalah untuk kita sama-sama duduk berbincang, bertukar-tukar pandangan dengan berhujah,” ujarnya kepada deligasi tersebut.
Ustaz Abdul Hadi yang juga Presiden PAS sentiasa bersedia bertemu dengan mana-mana kumpulan agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.
Pengerusi Hindu Sangam Terengganu, Dr Bala Chandran melahirkan rasa amat bertuah dan gembira dengan pertemuan tersebut.
Katanya, pertemuan pertama kali ini secara santai sahaja berlaku di rumah Tuan Guru yang merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia.
Menurutnya, bukan mudah untuk bertemu seorang tokoh ilmuan agama, ulamak dunia dan pemimpin politik utama PAS.
“Saya rasa cukup bertuah dan sangat gembira kerana pada hari ini dan pertama kalinya (deligasi) dari Hindu Sangam Terengganu datang bertemu dan berbincang secara langsung.
“Rombongan kami (Hindu Sanggam) ini telah mendapat penjelasan pelbagai isu secara terus dari Tuan Guru (Abdul Hadi) kita sendiri,” jelasnya.
Beliau bercadang selepas ini akan menjemput Dato’ Seri Tuan Guru pula dalam suatu pertemuan lain melalui perbincangan yang sihat, matang dan sejahtera.
Dr Bala Chandran yang juga Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu menyifatkan pertemuan itu berjaya serta banyak persoalan yang bermain diminda dijawab oleh Ustaz Abdul Hadi.










