Himpunan Aman Besar-Besaran Menyokong Kebangkitan Rakyat Mesir

791

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/02/bantah%20mesir1.jpgJawatankuasa ‘Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir’ akan mengadakan himpunan aman besar-besaran bagi menyokong kebangkitan rakyat di negara Mesir yang sedang berada di kemuncaknya mulai minggu ini.

Himpunan aman ini penting sebagai tanda sokongan kepada rakyat Mesir yang bangkit daripada penindasan oleh rejim Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun lamanya. Rakyat Mesir sedang berusaha membebaskan diri mereka dari belenggu kezaliman dan membuka suatu lembaran baru politik Mesir yang bebas dan merdeka. Seramai 300 orang dilaporkan terkorban dalam siri-siri himpunan mendesak Hosni Mubarak berundur segera.

Himpunan aman ini akan diadakan pada hari Jumaat, 4 Februari 2011 bersamaan 1 Rabiulawal 1432 Hijrah bermula selepas solat Jumaat. Umat Islam diseru untuk  bersolat Jumaat di masjid As Syakirin, KLCC, kerana perhimpunan bermula dari masjid tersebut dan seterusnya akan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang.

Lokasi Kedutaan Amerika Syarikat dipilih sebagai tempat perarakan kerana negara berkenaan menjadi simbol kepada kezaliman diktator dunia. Dunia mengenali Amerika Syarikat sebagai ‘polis dunia’ yang membuli negara dan pemimpinnya serta pencatur segala konflik di negara-negara.

Sebanyak lebih 50 buah NGO termasuk parti-parti politik menyatakan kehadiran mereka bersama dalam himpunan aman ini. Kesemua pemimpin tertinggi termasuk presiden parti-parti politik juga dijemput hadir bagi menyampaikan ucapan mewakili organisasi masing-masing.  Dijangkakan seramai 10,000 rakyat mewakili pelbagai etnik, kelompok, bangsa dan jalur politik akan hadir bersama.

Selain itu, kemuncaknya adalah serahan memorandum kepada Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang akan disampaikan oleh pemimpin utama parti-parti politik dan NGO-NGO. Antara tuntutan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Himpunan kepada Amerika Syarikat adalah:-

1.    Mendesak Amerika Syarikat berundur dari bumi Mesir
2.    Mendesak Amerika Syarikat menyatakan sokongan bersama kebangkitan rakyat Mesir dan jangan campurtangan dalam urusan politik mereka.
3.    Mendesak seluruh dunia memberi tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Jawatankuasa ‘Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir’ dengan ini menyeru semua rakyat dari pelbagai lapisan dan golongan untuk turut hadir bersama dalam himpunan aman ini. Pihak media dan para blogger juga dijemput hadir bagi membuat liputan. Sidang media akan diadakan sejurus selepas himpunan ini berakhir.

SUHAIZAN KAYAT
Pengarah
‘Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir’