Terengganu, Malaysia

Cadangan Dr Zakir; Umno Mesti Terima Al-Quran Dan As-Sunnah

ngo marang

Oleh KAM

MARANG – Pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) jelas boleh menerima sesiapa sahaja yang mahu bersama Islam dengan syarat mengikut ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Adul Hadi Awang turut menjelaskan bukan sahaja Umno bahkan orang DAP sekali pun dengan syarat terima Islam.

Ini kerana, katanya pandangan Nabi Muhammad SAW sendiri boleh menerima sesiapa sahaja yang terima Islam.

“Itu bukan pandangan Tok Guru Nik Aziz, pandangan Nabi (Muhammad SAW) pun, orang terima Islam kita (PAS) terima. Tapi kena terima Islam sungguhlah, jangan buat main-main, tak kira siapa pun kena terima Islam sungguhlah,” tegasnya.

ngo marang1Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil media adakah PAS boleh menerima Umno jika parti itu mahu bersama dengan PAS yang dasarnya memperjuangkan Islam.

Kata Ustaz Abdul Hadi, PAS tidak ada halangan untuk bersama dengan mana-mana parti termasuk Umno dan DAP dengan syarat boleh menerima Islam, al-Quran dan as-Sunnah.

“Siapa pun tak kisah, Umno ke…walau DAP pun jika terima Islam. Siapa dia yang masuk Islam kita terima,” jelasnya selepas merasmikan Himpunan NGO’s Parlimen Marang 2016, di perkarangan Masjid Kampung Pasir Puteh, Merchang, Marang pada Jumaat 22 April.

Mengulas pandangan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang mencadangkan agar parti politik Islam PAS dengan Umno bergabung, Dato’ Seri Tuan Guru mengulangi syaratnya ikut al-Quran dan as-Sunnah.

“Dr Zakir sebut kena ikut al-Quran dan as-Sunnah. Tapi orang lupa syarat (terima) itu,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

Tambahnya, jika Umno bersedia untuk bersama dengan PAS, muzakarah perlu diadakan bagi mencari titik persamaan itu.
Sebelum itu, Ustaz Abdul Hadi merasmikan gabungan 10 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bergerak aktif di kawasan Marang di bawah satu nama Gabungan Ngo Marang Terengganu (Gamit).

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua (YDP) PAS Marang, Yahaya Ali dan pengarah programnya, Cikgu Mohd Deraman

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan