Oleh KAM
HULU TERENGGANU – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak yang dijadualkan 7 Mei depan, setakat ini pimpinan PAS masih selamat dan tidak dihalang memasuki negeri itu.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata pimpinan PAS masih boleh masuk ke Sarawak dan tidak dihalang sebagaimana pimpinan parti-parti lain.
Ini kerana, katanya PAS sebagai sebuah parti Islam amat menitik berat soal adap dan adat berada di tempat orang dengan tidak menyinggung perasaan pihak lain.
Malah, katanya PAS menghormati adat dan budaya orang lain termasuk di kalangan masyarakat bukan Islam di Sarawak.
“Setakat ini Alhamdulillah, pemimpin PAS tidak dihalang lagi setakat ini dan bagi kita (PAS) tidak terlibat sebagaimana mungkin sesetengah pimpinan parti lain membuat dakwaan yang mungkin menyinggung hati orang Sarawak itu sendiri.
“Kita, parti Islam (PAS) ini pesan sangat kepada orang kita jaga adap kita dan menghormati adat-adat orang lain. Termasuklah orang bukan Islam itu sendiri. Kita nak bercakap, kita nak buat sesuatu itu kena menghormatilah adat dan budaya orang lain.
“Setakat ini pemimpin kita (PAS) selamatlah dan saya pun baru balik dari Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Hulu Terengganu Kali Ke-32, di Dewan Tuan Guru Dato’ Harun Taib, Markaz Tarbiyah PAS Kubang Lembek, Manir pada Dabtu 16 April.
Menurutnya, terdapat pemimpin parti lain yang dihalang masuk ke Sarawak berkemungkinan pernah me mberi kenyataan menyinggung perasaan masyarakat pelbagai etnik di sana.
Berhubung perkembangan pilihan raya Sarawak itu, katanya PAS yakin calon parti yang bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut mempunyai potensi menang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata pada PRN Sarawak kali ini PAS turut mengetengahkan calon bukan Islam, Clement Bayang yang merupakan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak beragama Kristian.
Menurutnya, Clement merupakan seorang tuai rumah atau ketua kaum yang akan mewakili PAS bertanding di Dun Kakus.
“Kita harap dengan pembawaan politik baharu, budaya politik matang dan sejahtera. Kita (PAS) membawa calon bukan Islam yang beragama Kristian, yang menjadi ‘tuai’ rumah atau tok penghulu.
“Kita nampak satu perkembangan yang positif dan secara tidak langsung menafikan PAS ini tidak boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam,” jelasnya.
Namun, beliau tidak menolak terdapat beberapa isu yang mungkin menjadi cabaran kepada PAS dalam pilihan raya di Sarawak antaranya politik wang serta penggunaan jentera kerajaan yang memberi kelebihan kepada pihak pemerintah.
“Politik wang, mengikut pengalaman dalam pilihan raya politik wang ini tidak dapat dielakkan terutama di kalangan parti pemerintah. Sama ada secara ‘direct’ atau berselindung di sebalik program-program kerajaan. Pokoknya, politik wang itu memang berlaku dalam pilihan raya.
“Kita (PAS) harap kepada penguatkuasa atau SPRM dan SPR itu sendiri membuat pemantauan yang secukupnya. Bagi mempastikan sistem demokrasi kita ini berjalan dengan bersih dan telus dan amalan politik wang ini tidak sepatutnya berlaku lagi,” tegasnya.
Malangnya, kata Setiausaha Agung PAS itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah membuat ketetapan bahawa penggunaan jentera kerajaan itu bukan suatu amalan rasuah pilihan raya mahu pun satu kesalahan pilihan raya.
Menurutnya, suatu perkara yang sangat malang berlaku di negara ini kerana negara-negara lain cukup serius dalam isu rasuah tersebut










