KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina yang akan dirayakan oleh semua warga Tionghua pada 8hb Februari ini.
Sempena perayaan itu, Pesuruhjayanya YB Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, kerjasama dengan masyarakat Cina akan terus terjalin dengan baik kerana PAS mempunyai hubungan yang sudah lama terbina, khususnya dengan masyarakat Tionghua di negeri ini.


“Bahkan telah terbukti, kerajaan PAS Terengganu yang memerintah pada tahun 1999 hingga 2004 telah memberikan layanan yang saksama, sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam.”ujarnya yakin.
Katanya, masyarakat di Kampung Cina Kuala Terengganu tentu masih ingat polisi PAS yang memberikan kemudahan dengan tidak mengenakan cukai kepada ‘pintu gerbang’ di kampung itu.
Bahkan, kata ADUN Paka itu berkata, kerajaan PAS juga tidak mengutip cukai pintu bagi rumah kediaman.
Beliau berkata dasar Islam yang diamalkan kerajaan PAS juga turut menyampaikan hasrat penduduk Tionghua di bandar Chukai Kemaman, yang sekian lama mahukan sebuah tapak bagi rumah mayat.
“akhirnya (ia) berjaya dibina dan masih kekal ada sehingga ke hari ini,”jelasnya menurut satu kenyataan media, semalam.


“Walaupun pihak-pihak yang cemburu, cuba memburukkan dan memomokkan PAS dengan tohmahan yang tidak baik, tetapi kami yakin persepsi masyarakat Tionghua Terengganu tidak berubah,”tegasnya
Justeru, dalam kesempatan cuti panjang menyambut Tahun Baru Cina kali ini, beliau menyeru kepada perubahan, untuk masa hadapan yang lebih baik.
“PAS Terengganu mengajak semua rakyat Terengganu tanpa mengira bangsa dan agama bersama-sama membuat perubahan pada pilihan raya umum kali ke-14 yang akan datang.
“Kami yakin akan dapat melaksanakan lebih banyak perubahan, untuk kehidupan masa hadapan yang lebih baik bagi warga dan rakyat Terengganu,”kata beliau.



























