Tolak Kejahatan Dengan Kebaikan

1930

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai sebuah gerakan Islam mempraktikkan ajaran agamanya sepenuhnya, tidak berdendam dan menolak kejahatan musuh dengan sikap kebaikan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perjuangan PAS tidak mengamalkan sikap fanatik terhadap kepartiannya.

Bahkan, kata beliau sikap kemanusiaan itu mengatasi segala-galanya dan menolak kejahatan musuh dengan berbuat baik.

“Kita (PAS) tidak tunjuk sikap fanatik terhadap parti, terhadap perjuangan kita. Sikap kemanusiaan mengatasi segala-galanya. Ini makna kita (PAS) menolak kejahatan orang dengan kebaikan.

IMG_2817“Mereka yang bermusuh dengan kita (PAS) bertukar menjadi baik dan di atas sikap inilah kita mesti bergerak. Apa lagi dalam negara demokrasi, apa lagi dalam konsep Islam mendahulukan damai dari pergaduhan.

“Inilah konsep yang diajar oleh Islam yang perlu kita laksanakan. Ini kerana, Islam membawa mesej “Rahmat” kepada seluruh manusia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Amal di sini pada Jumaat 29 Januari lalu.

Ustaz Abdul Hadi turut berhujah dengan firman Allah yang bermaksud, “Jika sekiranya musuh yang berkelahi dengan kamu ajak berdamai maka berdamai dan bertawakal kepada Allah. Jika sekiranya mereka hendak menipu kamu maka Allah akan menolong kamu, Allah akan menjinakkan hati-hati manusia bersama dengan kamu dengan sebab kerja kebajikan yang kamu buat ”.

Menurutnya, ahli-ahli PAS bersabar dengan kezaliman yang pernah dilakukan oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Bantuan banjir, bantuan kemalangan tanpa mengenal perbezaan fahaman politik. Tanpa mengenal ajaran agama, melupai segala kezaliman yang dia buat kepada kita, orang zalim kepada kita (PAS).

IMG_2828“Contohnya, di kampung hendak minta tandatangan borang JKKK (Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung) tanya Umno ke PAS, hendak minta bantuan tanya Umno ke PAS, hendak minta kerja, hendak minta sokongan tanya Umno ke PAS?

“Ini kezaliman seluruh negara. Inikah makna demokrasi…tetapi Umno buat macam itu, kita (PAS) sabar. Kita sabar bagaimana kerja kebajikan kita (PAS) berbeza dengan mereka,” jelasnya dihadapan 100 anggota Amal Kelana.

Kata Ustaz Abdul Hadi, kerja amal yang sedikit akan memberi makna sangat besar jika bantuan dihulurkan itu tanpa mengenal perbezaan politik.

Maka, katanya kerja-kerja kebajikan dalam Islam sangat besar dan berterusan hingga ke dalam kubur.

“Kerja kita sangat besar. Sebab itulah, kerja Islam ini suatu kerja yang tidak pernah habis, kerja berterusan dan kerja yang tidak ada pencen.

“Bahkan, jika kita mati sekali pun amal yang kita buat dan jika faedahnya berpanjangan Tuhan bayar dalam kubur kita, Insya’Allah,” ujarnya.