Oleh : KAM
HULU TERENGGANU – PAS sangat tegas mempertahankan prinsip Islam sehingga sanggup kehilangan kawan dan rakan tahalufnya.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata meski pun Islam merupakan agama yng paling bertoleransi di dunia tetap tegas dengan prinsipnya.
“Kita dalam PAS tegas mempertahankan prinsip Islam yang menjadi dasar perjuangan parti hingga hilang kawan.
“Kita pertahan prinsip Islam hingga hilang rakan tahaluf (DAP), kita pertahan prinsip kita hingga hilang Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), hilang markaz, hilang kerusi (Dewan Undangan Negeri) dan (Parlimen).
“Ini (adalah) kerana prinsip yang tidak dibenarkan bertolak ansur. Walau pun Islam agama yang paling toleransi di dunia. Sehingga Nabi SAW kata, “Barang siapa yang menyakit kafir zimmi sama seperti menyakitiku, sama menyakiti hati Rasulullah SAW”.
“Tapi dalam prinsip, kita tidak dibenarkan tolak ansur hingga menggadai prinsip perjuangan Islam,” jelasnya di hadapan lebih 1,600 hadirin.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Pembinaan Generasi Yang Diimpikan” sempena Nadwah Pemerkasaan Duat (Nekad) 9.0 di Dewan Markaz Tarbiyah PAS, Kubang Lembek, Manir pada 4 Disember lalu.
Justeru, katanya PAS telah mengistiharkan parti itu sebagai pembangkang dan tidak lag bersama dengan kerajaan DAP di Pulau Pinang.
Beliau menegaskan tindakan Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan hubungan tahaluf dengan DAP itu kerana melibatkan soal hukum dan bukan strategi politik.
“PAS isytihar sebagai pembangkang di Pulau Pinang. Sebab, bila Majlis Syura Ulamak (MSU) buat keputusan putus hubungan dengan DAP ini keputusan hukum.
“Ini keputusan hukum dan bukan keputusan strategi politik. Syura, dia tidak fikir strategi politik, syura hanya fikir hukum sahaja. Bila keputusan hukum maknanya tidak boleh tolong, tidak boleh bantu, tidak boleh kerjasama, tidak boleh jadi calon, tidak boleh dengan DAP.
“Sebab, kita (PAS) letakkan dia dengan sikap dia (DAP) yang sedemikian itu menyebabkan kita terpaksa memutuskan hubungan dan tindakan kita dengan DAP bukan lagi sebagai rakan tahaluf bahkan dia kita anggap sebagai ‘musuh’ politik yang tidak memberi ruang kepada Islam dalam keadaan yang belum menang.
“Bayangkan jika menang nanti…dengan sebab itu kita (PAS) tegas dengan prinsip kita. Insya’Allah, ahli tidak perlu bimbanglah bila kita pegang dengan prinsip (Islam) itu kita yakin Allah SWT akan bantu kita,” ujarnya.










