KUALA TERENGGANU – Cubaan Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat untuk membawa usul tergempar di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, dihalang oleh Yang Dipertua Dewan.
Wakil Paka itu bangun sebaik Sidang memulakan sesi selepas rehat waktu pagi bagi membentang usul berkaitan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).
Beliau berhasrat memohon persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Dewan yang mulia ini membincang dan merundingkan isu berkaitan.
“Ni bukan usul undi tak percaya…..jangan runsing lah Yang Dipetua………tiap-tiap kali (pembangkang cuba) membawa usul tak sempat ‘sokmo’,
“bagilah pembangkang peluang, saya ingat tiap-tiap kali penggal dah (tak boleh bawa usul) dulu satu usul satu hari….ni (sekarang) satu penggal satu usul….,…jadi tak ada peluang (untuk pembangkang),
“Nampak sangat (Yang DiPertua) takut kerajaan (Umno) jatuh?…..”ujar Ustaz Satiful.
Namun Yang DiPertua Dewan Dato’ Mohd Zubir Embong menolak hujah Ustaz Satiful sebaliknya membenarkan wakil Kota Putera Mohd Mahdi Musa, dengan alasan ‘yang mana terlihat dahulu’.
“peraturannya…..saya nampak di depan tu……..peraturannya ‘yang mana terlihat dahulu oleh Yang DiPertua…….saya nak panggil YB Kota Putera (untuk kemuka usul),
“lain kali YB Paka, lain kali……….”ujarnya. [Klik Untuk Dengar Audio]
Usul yang cuba dikemukakan oleh Ustaz Satiful adalah sebagaiman dibawah;
Usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Dato’ Yang di-Pertua,
Saya YB Hj Satiful Bahri Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi kawasan Paka mohon mencadangkan,
“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Dewan yang mulia ini membincang dan merundingkan isu berkaitan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750)”
Dato’ Yang Di-Pertua,
Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana ia menyentuh kedaulatan sempadan negeri, sebaliknya ketika kerajaan Pusat merangka Akta tersebut, pihak Kerajaan negeri, khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Raja-Raja tidak dirundingi.
Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai kerana negeri Terengganu merupakan sebuah dari negeri-negeri pengeluar petroleum.
Akta tersebut boleh ditafsirkan sebagai satu usaha merampas hak terhadap pengeluaran gas dan petroleum dan apa sahaja mineral yang terdapat di pelantar benua.
Sedangkan Fasal Satu, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957: “The malay States means the State of Johore… Kelantan… and all dependencies, islands and places which, immediately before the thirty-first day of August 1957 as administered as part thereof, and the territorial waters adjacent there to”.
Maka dengan itu, wilayah negeri-negeri itu adalah termasuk laut Wilayah dan Pelantar Benua.
Perlembagaan Persekutuan juga menyebut dengan jelas hak DUN untuk dirundingi dan dipohon kelulusannya sebelum apa-apa undang-undang diluluskan di Parlimen yang menyentuh perkara berkaitan dengan persempadanan dan apa-apa yang terkandung dalam jadual kesembilan PP berhubung dengan dengan hak negeri,
Perkara ini perlu disegerakan bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan menjelang pilihan raya umum yang akan datang, yang akan dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja selepas ini.
Sekiranya berlaku pertukaran kuasa pada kerajaan persekutuan, pada bila-bila masa sahaja, maka perbincangan usul ini pada hari ini, boleh mengelakkan sebarang pertikaian yang mungkin akan membawa kepada huru-hara yang lebih besar.
Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.
Yang Mengusulkan,
YB Hj Satiful Bahri Mamat,
Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu, Kawasan Paka.
23 September, 2013










