“Masalah Rakyat Diutamakan,” Kata YB Cikgu Alias Harun

2087

Oleh : TMS

DUNGUN – Sikap rendah diri dan mesra rakyat yang dimiliki Adun Rantau Abang, Tuan Hj Alias Harun menjadikan beliau mudah ditegur dan diajak berbual.Bekas seorang guru ini yang cukup dikenali oleh rakyat khususnya dalam Dun Rantau Abang yang mesra dengan panggilan Cikgu Alias ini, tidak kekok bila bertemu dengan masyarakat.

Meskipun baharu satu penggal menjadi wakil rakyat, Cikgu Alias banyak menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan dalam kawasannya, malah turut sentiasa turun pada hari-hari biasa bagi aktiviti kebajikan seperti ziarah orang sakit dan kematian, serta bila ada penduduk ditimpa musibah.

IMG_20151130_095559Mengambil kira faktor taraf penduduk dalam Dun Rantau Abang yang mempunyai latarbelakang politik yang berbeza  Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang telah menyusun satu program yang yang dinamakan sebagai YB Cikgu Alias Bersama Rakyat UPU Tok Kah pada 28 Nov 2015,yang lalu.

Program sebegini diadakan secara bulanan mengikut (Unit Peti Undi) UPU secara bergilir gilir dan UPU Tok Kah adalah yang ke-9 daripada 10 UPU yang terdapat dalam DUN Rantau Abang.

Pelbagai acara dan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan telah disusun sepanjang hari yang melibatkan masyarakat setempat termasuk Rawatan Darus Syifa’ percuma, lawatan orang sakit, rawatan doktor rumah ke rumah, sumbangan fakir miskin, gotong royong dan pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan memasak muslimat.

Menurut Pengarah Program, Tuan Haji Anuar Abu Bakar , program ‘YB Cikgu Alias Bersama Rakyat UPU Tok Kah’ ini mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada penduduk UPU Tok Kah.

Katanya, para penduduk  dari Kg Tok Kah, Bukit Murai , Kg Bahagia dan Kg Gong Banar dalam UPU Tok Kah telah hadir memeriahkan program yang berpusat di Surau Hj Din, Tok Kah.

IMG_20151130_095659“Mereka datang memberi sokongan dan menyertai acara yang diadakan sepeti pertandingan menganyam ketupat dan masakan berasaskan labu bagi acara muslimat.Turut diadakan adalah pertandingan mewarna kanak-kanak.”

“Kita berusaha sedaya mampu untuk memastikan ADUN Rantau Abang mendapat tempat di hati rakyat dengan penganjuran program ini.”katanya kepada wakil media di sini.

Adun Rantau Abang, Cikgu Alias Harun menyifatkan program ‘interaktif’ ini akan diteruskan sehingga PRU 14 akan datang kerana pelbagai aktiviti yang dirancang dapat merapatkan beliau sebagai wakil rakyat dengan masyarakat setempat.

“Antara perkara utama yang menjadi tumpuan dalam program ini adalah dari segi aspek kebajikan dan permasalahan penduduk yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.”

“Sememangnya kos sara hidup yang meningkat memberi tekanan menyebabkan ada penduduk tampil mohon bantuan persendirian untuk meneruskan kehidupan”,katanya dengan nada sedikit sedih.

“Kita akan cuba sedaya upaya bagi memenuhi hasrat mereka walaupun dalam keadaan tiada peruntukan daripada kerajaan negeri kepada wakil rakyat PAS.

IMG_20151130_095530“Melalui Pusat Khidmat Adun Rantau Abang dengan kerjasama Majlis Tindakan Dun (MTD) Rantau Abang kita telah berusaha mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan untuk membantu permasalahan rakyat terutama mereka yang ditimpa musibah dan desakan hidup”, jelasnya.

Cikgu Alias Harun yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan dalam menjayakan program sehari tersebut.
“Saya berterima kasih kepada semua penduduk sekitar UPU Tok Kah yang memberi kerjasama dalam menjayakan program ini,

“InsyaAllah MTD Rantau Abang akan cuba sedaya upaya dengan kemampuan yang ada bagi memastikan permasalahan yang dikongsi oleh rakyat dapat dibawa kepada pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian,” tambah Cikgu Alias dengan nada yakin.

Turut hadir sepanjang program yang diadakan adalah isteri Cikgu Alias , Puan Rogayah Mahmood yang lebih dikenali dengan panggilan “Kak Long”.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan cabutan bertuah.