KUALA TERENGGANU – Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu bakal mengetuai rombongan bagi ‘menyantuni’ saudara Islam pelarian Syria yang berada di kem-kem kecil di Jordan.
Pengarah Projek Pelarian Syria di Jordan, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, beliau akan mengetuai program amal berkenaan yang akan berangkat pada 19 Januari depan.
“Insya-ALLAH rombongan kami kali ini bersama tiga misi iaitu Edu4Syrians, Blankets4Syrians dan Quran4Syrians.
“Edu4Syrians adalah projek kami berkaitan pendidikan untuk pembinaan dan perjalanan operasi sekolah sepanjang tahun, manakala Blankets4Syrians pula adalah keperluan musim sejuk yang akan dilalui pelarian Syria,” katanya.
Menurutnya, projek baharu yang dirancang ialah Quran4Syrians dimana akan mewakafkan Al-Quran untuk pelarian Syria dengan harapan mereka semakin dekat dengan kalam ALLAH SWT.
Dalam masa sama, Mohamad Fauzi mengajak orang ramai bersama-sama membantu dengan menyumbang kepada pelarian itu melalui Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu.
“RM10 bagi anda mungkin tiada nilainya tapi bagi pelarian Syria ianya sangat berharga.Marilah menyumbang kepada mereka melalui kami dan insyaallah akan disampaikan kepada mereka (pelarian Syria),” katanya.
Sebarang sumbangan boleh terus di masukkan ke dalam akaun Amal Terengganu Dana Syria MAYBANK 563064131924 dan pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi Cikgu Fauzi di talian 013-9238685.










