Ucapan ADUN Bandar; PAS Kuala Terengganu Dukacita, Kecewa

1550

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu melahirkan rasa dukacita dan kecewa atas capan Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail dalam ceramah beliau di Wakaf Dua, Marang, baru-baru ini.

Setiausahanya Ustaz Mohd Saoud Said berkata, ucapan ADUN Bandar itu memberi pengertian dan pentafsiran yang mengelirukan.

“Ucapan YB Azan dalam ceramah beliau di Wakaf Dua Marang baru-baru ini menyebabkan kami melahirkan rasa dukacita dan kecewa dari lubuk hati sanubari kami,

“kerana sebagai rakan kongsi politik dalam konteks tahaluf syiasi di peringkat Negeri Terengganu, ungkapan yang sedemikian memberi pengertian dan pentafsiran yang mengelirukan untuk difahami khususnya di kalangan rakyat jelata,”jelas Ustaz Soud dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menegaskan dan mempertahankan kenyataan kenyataan Ketua Penerangannya, Haji Ahmad Amzad Hashim yang dibuat sebelum ini berkaitan ucapan Azan itu.

Beliau menambah, keutamaan PAS sebagai parti politik dan gerakan Islam pada masa kini adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan berikhtiar mencari jalan meringgankan bebanan semasa yang ditanggung oleh rakyat jelata.

OLeh itu, kata beliau, pendirian yang berbentuk politik kesukuan dan kepuakan yang sempit sudah tidak relevan di era milinium ini.
“Para pemimpin dari kalangan parti-parti politik sekalipun berbeza fahaman ideologi politik dan kepercayaan hendaklah mengutamakan kepentingan rakyat dan berikhtiar mencari jalan meringgankan bebanan semasa yang ditanggung oleh rakyat jelata.

“Pendirian yang berbentuk politik kesukuan dan kepuakan yang sempit sudah tidak relevan di era milinium ini. Apatah lagi politik sembang memperlekeh antara satu sama lain dan bertindak mengangkat diri sendiri sebagai juara atau jaguh atau wira pembela rakyat dengan menidakkan peranan pihak lain,”tegas beliau.

Justeru itu beliau turut menasihatkan agar, semua ahli politik, supaya bersikap jujur dalam menjelaskan agenda perjuangan masing-masing.

“Kami berpandangan bahawa blok pembangkang bukan sekadar menjadi pembangkang tetapi mesti bertindak secara jujur , ‘check and balance’ kepada kerajaan semasa. Membentang fakta dan permasalahan rakyat seterusnya memberi cadangan alternatif untuk dibawa kepada kerajaan melalui agensinya adalah lebih berkesan.

“Mengadakan dialog rakyat secara harmoni dan menerangkan secara jelas agenda perjuangan parti jika diberikan mandat untuk menjadi kerajaan dalam pilihanraya nanti. Seterusnya pendekatan membina hubungan antara semua kaum dan sektor dalam masyarakat,”terang beliau lagi.

Katanya, PAS bersedia menghadapi apa jua rintangan politik dan menasihatkan agar pemimpin PKR itu berhati-hati dan cermat.

“Harapan kami agar selepas ini YB Azan akan lebih berhati-hati dan cermat dalam ucapan dan tindakan beliau,”tambah beliau