Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Tanah Serendah sekebun bunga, Kelantan menjadi saksimata bagaimana lebih seratus ribu para pendokong PAS berhimpun, memugar kembali semangat serta menggebu aspirasi untuk terus beristiqomah. Mereka datang tanpa diupah, berjejer keringat menempuh pemusafiran yang jauh, namun relung dada mereka menyala api semangat dalam kuntuman ukhuwwah yang mekar bersemi.
Himpunan FASTAQIM menterjemahkan rasa cinta yang mendalam pendokong PAS terhadap jamaah yang mereka cintai walaupun musuh dan pengkhianat sentiasa cuba merobek maruah dan reputasi PAS. Himpunan yang merapatkan pendokong PAS yang mempunyai pelbagai latarbelakang sosio politik, lantaran gegaran pasca muktamar yang berjaya menelanjangi wajah sebenar sekelompok bekas pimpinan PAS.


PAS yang merupakan kesinambungan gerakan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh British telah merencahkan dengan baik lapangan operasional sektor siasah, dakwah dan tarbiah dalam tempoh enam dekad. Sejarahnya sarat dengan hujaman musuh dan persaingan dengan gerakan dhirar yang cuba memecahkan kesatuan umat Islam.
Lambang PAS pernah diharamkan, ahli-ahli PAS ratusan jumlahnya yang pernah mendekam di khemah ISA, ribuan ahlinya menghadapi penindasan berterusan, puluhan yang mati dibunuh regim tirani. Sejarah ini tidak dihadami oleh anak muda kail panjang sejengkal yang malas membaca, merasakan PAS ini terlalu lemah untuk menguruskan perubahan dan momentum politik negara ini. Mereka silap, termasuk penganalisa politik separuh masak yang juga pencatur gerakan dhirar yang menyatakan PAS akan lenyap dalam 20 tahun akan datang. Sangat naif dan memalukan artikulasi yang sangat lemah, sedangkan himpunan FASTAQIM menunjukkan kehadiran 70 peratus anak-anak muda yang energetik. Merekalah yang akan mewarisi perjuangan Islam yang menjadi nuansa perjuangan PAS, tanpa kompromi.


Pendokong PAS wajib memanfaatkan ruang siber untuk menyebarkan pengaruh PAS kerana medium ini mempunyai jumlah pemain yang besar. Dianggarkan Malaysia mempunyai 15 juta pemilik akaun FB, juga aplikasi media sosial yang lain. Pengaruh media sosial cukup besar merembes pengaruh terutama kelompok kelas menengah berpendidikan dan menjangkaui kawasan luar bandar yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO BN. Ayuh kita genggam erat tangan untuk menggapai kejayaan, tiada jalan mudah melainkan segunung tad’hiah yang berterusan…maka istiqomah teman-teman semua!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Panitia FASTAQIM 2015)





























