Pengorbanan Sebenar Mempertaruhkan Segalanya Termasuk Nyawa

1532

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan alam ini. Sekali lagi kita berkesempatan untuk bersama menyambut hari kebesaran teragung bagi umat Islam iaitulah Eid Adha.

Ataupun hari raya korban yang dikenali dikalangan kita, dimana kisah pengorbanan nabi Ibrahim dengan anaknya nabi Ismail yang masyhur itu, menjadi asas kepada perayaan ini, terus kita perdengarkan bagi mengajak manusia agar memahami erti pengorbanan para nabi tersebut untuk menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah.

Betapa kesungguhan mereka menyerahkan hatta jiwa mereka kepada Allah, telah menjadikan mereka tauladan kepada bukan sahaja bagi kalangan kaum mereka malah jauh lebih dari itu, nabi Ibrahim dikenali sebagai bapa kepada seluruh agama yang disebut-sebut Allah di dalam al-Quran. Begitu besarnya perayaan ini, sehingga kita disunatkan agar bertakbir memuji Allah selama empat hari.

Dalam kita menelusuri kisah para anbiya’ ini, apa yang jelas di sini ialah, pengorbanan yang dilakukan mereka kepada Allah bukanlah terletak kepada besar kecil nilai atau bentuk hartanya, tetapi apa yang lebih utama daripada itu ialah keikhlasan manusia untuk melakukan pengorbanan itu hanya kerana Allah. Firman Allah :

(لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنْكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ)
[Surat Al-Hajj 37]

“ Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”

Keikhlasan Habil memberikan korban yang terbaik kepada Allah dan keikhlasan Ibrahim menyembelih anaknya sebagai contoh pengorbanan yang ikhlas yang diterima dan dikisahkan oleh Allah supaya menjadi ikutan kepada semua manusia. Pokok pangkalnya, untuk mencapai keikhlasan dalam beribadat, tidak hanya dengan berkata-kata sahaja tanpa kita mendalami ilmu, memahaminya dan paling utama ialah mempraktikannya serta mesti sanggup berkorban bagi kebenaran ilmu itu. Ramai dikalangan manusia hari ini hanya tahu bercakap tetapi kosong dari segi kefahaman dan juga pengamalan bagi membolehkan martabat mereka diangkat oleh Allah kerana mereka takut berkorban.

Kebenaran dalam Islam inilah isi terpenting yang semestinya kita keluarkan atau terjemahkan dalam bentuk perbuatan kita. Isi kandungan Islam ini sebagaimana emas, perak, berlian atau mutiara yang jauh duduk letaknya dalam perut bumi atau dasar laut. Tanpa kesungguhan kita berkorban dengan segala kepayahan bagi mendapatkannya, maka galian berharga itu tiada nilainya. Terperap di dalam bumi tanpa ada harga.

Ianya hanya berguna kepada manusia apabila dikeluarkan dari dalam bumi. Ianya sama seperti kita mengetahui adanya galian berharga di bawah tanah kita tapi kita tidak mahu mengeluarkan modal untuk menggalinya. Itulah ibarat kepada manusia yang hanya tahu menyebut Islam tetapi kosong dalam memperjuangkan kebenarannya. Sejarah membuktikan perjuangan menegakkan kebenaran inilah yang mendapat tentangan terhebat daripada manusia-manusia jahil, jahat dan sombong.

Kita dapat melihat dengan jelas golongan-golongan ini ada disekitar kita. Bercakap seperti dialah juara kepada Islam, tetapi apabila kita mengajak mengikuti sebenar-benarnya jalan yang ditunjukkan oleh quran dan sunnah, mereka mempersembahkan berbagai alasan bagi mengelaknya. Apabila bercakap berkaitan dengan penderitaan dan kesusahan rakyat, maka merekalah juara. Tetapi dalam masa yang sama, cukai-cukai yang membelit rakyat yang miskin serta laporan-laporan ketirisan berkaitan sejumlah besar wang rakyat, masih terus terpampang dalam laporan-laporan rasmi audit. Yang terkorban ialah rakyat dan mengorbankan rakyat adalah mereka yang bercakap tentang Islam tanpa pemahaman dan pengamalan Islam yang benar itu. Sedangkan para pemerintah diharamkan menzalimi rakyat mereka.

Apabila kefahaman serta pengamalan Islam gagal diterjemahkan menjadi cara hidup, maka akan timbullah kekacauan pemikiran dalam melaksanakan tuntutan Islam. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Sidang DUN Terengganu baru-baru ini, cadangan bagi penjualan arak di Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir, yang mana Kuala Berang hampir 99 peratus penduduknya melayu serta tiada permohonan bagi bukan Islam untuk menjual arak, tetapi atas nama tarikan pelancong, maka arak dijadikan “menu” utama bagi memanggil pelancong datang ke Kenyir.

Tidakkah mereka lihat kesan penjualan arak di kawasan-kawasan pelancongan seperti ini terhadap penduduk melayu Islam setempat? Lihatlah pulau-pulau pelancongan yang ada, dan para pemuda-pemudi tempatan yang terpengaruh dengan budaya arak ini. Bukan itu sahaja, bahkan, pemuda-pemudi melayu Islam inilah nanti mungkin akan menjadi promoter atau penjual arak-arak ini.

Jelas, inilah kezaliman diatas kejahilan dan kegagalan pemerintah memilih yang mana sepatutnya dikorbankan. Pendapatan tambahan pelancongan melalui arakkah atau rakyat yang akan terpengaruh kepada arak yang perlu dikorbankan. Mereka sanggup memilih mengorbankan agama anak-anak muda ini daripada sedikit kerugian kerana tidak menjual arak. Malang sungguh kepada rakyat kerana mempunyai pemerintah ini.

Oleh itu pengorbanan dalam Islam bukanlah hanya menyembelih lembu, kerbau, unta ataupun kambing kerana itu hanyalah ritual dan sebagai lambang ibadat kita sahaja. Akan tetapi pengorbanan yang sebenar ialah mempertaruhkan segala yang kita ada termasuk nyawa kita hanya kepada Allah dengan hati yang ikhlas setelah kita mengetahui, memahami serta mengamalkan segala perintah Allah yang telah diturunkan kepada kita dengan diiringi oleh keterangan-keterangan daripada hadis dan penjelasan dari ulamak berkaitan kehendak sebenar agama ini.

Janganlah kita menjadi golongan yang dimurkai Allah kerana tidak melaksanakan apa yang kita kata kerana tidak faham ataupun tiada kemahuan untuk melakukannya disebabkan keegoan diri. Firman Allah dalam surah as-Saf :

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ)
[Surat As-Saff 2 – 3]

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya.
Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Semoga segala pengorbanan kita diterima Allah. Semoga penerimaan ini akan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah, menjadi golongan muqarrabiin, serta diangkat darjat kita sebagai insan yang bertaqwa kepada Allah. Dan untuk mencapai segala itu, maka perlulah kita kembali kepada Allah melalui jalan-jalan yang telah ditunjukkan oleh para anbiya’ serta beristiqamahlah di atas jalan yang lurus itu sehingga kita mencapai kemenangan di dunia dan di akhirat serta kita dimatikan Allah dalam keimanan insyaAllah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
9 Zulhijjah 1436 bersamaan 23 Sept 2015