Oleh : MNA
MARANG – Seramai 80 orang penduduk yang di kategorikan sebagai fakir dan miskin menerima sumbangan berupa barangan dapur dari wakil rakyat Bukit Payong Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah semalam.
Program yang diberi nama Cakna Wakil Rakyat anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong itu adalah dengan kerjasama Tabung Kemiskinan Harakah yang memilih Kampung Paya Resak sebagai lokasinya.
Berucap dalam program tersebut, Ustaz Mohd Nor mengingatkan para penerima agar bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada para penyumbang yang sanggup menyalurkan sebahagian daripada harta mereka bagi program ini.


“GST cukai yang terkena bukan kepada beberapa orang, tetapi ianya terkena kepada semua termasuklah ke atas orang miskin.
Dalam keadaan begitu, isu seperti rasuah, 1MDB, terjadi sebab kerakusan para pemimpin yang rakyat pilih itu, lupa diri dan amanah bila berdepan dengan kemewahan.
Ditambah pula dengan kejatuhan ekonomi dengan jatuhnya harga minyak serta nilai mata wang kita yang menyusut dengan banyaknya, maka semua orang akan kena tempiasnya.
Oleh itu dengan sumbangan daripada insan-insan yang baik hati ini, kita harap dapatlah mengurangkan sedikit bebanan saudara-saudari sekelian buat beberapa waktu terutama hampir dengan aidil adha ini.
Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tabung Kemiskinan Harakah kerana sudi membuat program bersama dengan MTD Bukit Payong hari ini,” ujar beliau.


Seorang warga emas Lijah binti Ali, 76 yang ditemui, menzahirkan kesyukuran atas sumbangan ini kerana dapat meringankan sedikit bebannya dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz Mohd Nor serta seluruh yang terlibat dengan program ini.
“Makcik ucap terima kasihlah kepada ustaz (Mohd Nor), Harakah dan semua yang terlibat atas bantuan ni.
Sekurang-kurangnya ringanlah sikit beban makcik untuk raya ni,” katanya dengan gembira.
Dalam program itu, para tetamu yang hadir turut diberikan peluang untuk mencuba perubatan alternatif cara Islam oleh pasukan dari Pusat Perubatan Darul Salam yang dibawakan khas dari Kuala Lumpur.





























