Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Kita akan merindui sosok intelektual awam yang memberikan seumur hidupnya di jalan dakwah, seorang penulis yang tidak jemu menganalisa kekuatan gerakan Islam dalam persaingan politik tanahair. Beliau dilahirkan pada tahun 1950 dan telah meninggalkan pelbagai tulisan akademik yang disiarkan dalam pelbagai penerbitan
Penulis mapan ini yang pernah diasuh dengan euphoria ilmu di University Monash dan Oxford, menganalisa pergolakan politik semasa, membedah kekuatan gerakan Islam dalam persaingan demokrasi, mengartikulasi dasar-dasar kerajaan yang tidak mesra syariat, merespon isu-isu yang merencahi perjalanan politik kontemporari negara ini, juga melumasi perkembangan politik semasa yang sangat mencabar samada kepada BN dan juga Pakatan Rakyat. Tulisan beliau dengan idiom-idiom Sains Politik diluncur dengan kilasan bahasa yang sangat menarik, tidak pelik kerana Wan Abdul Rahman adalah sosok yang diasuh dalam bidang disiplin Sains Politik secara formal dan menggodam marabahaya di samudera politik secara langsung semenjak menjadi penjawat awam lagi.
Penulis akademik, pengkaji Sains Sosial dan Intelektual awam ini telah dilahirkan di Selising, Pasir Puteh Kelantan, Serambi Mekah yang berakar dengan tradisi pengajian pondok. Menyusur daripada keluarga yang sangat menitikberatkan soal agama dan diasuh rapi dengan pendidikan al-Quran daripada kedua ibu bapanya. Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kamil dan juga di Sultan Ismail College, dua buah sekolah bergengsi di Kelantan yang juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh besar negara. Haji Wan Abdul Rahman telah melanjutkan pendidikan tinggi ke Universiti Monash Australia dan mendapat ijazah kelas Pertama Kepujian dan juga menyambung Ijazah Sarjana (MA) juga di Universiti Monash (juga meraih kelas pertama). Beliau berada di Universiti tersohor dunia, Universiti Oxford selama tiga tahun untuk pengajian peringkat Doktor Falsafah.
Semasa menimba ilmu dalam euphoria kebangkitan Islam beliau juga seorang pimpinan pelajar yang aktif dalam tahun 70an di luar negara terutama dalam gerakan pelajar Islam yang mendapat simbahan semangat daripada fenomena kebangkitan Islam yang meledak di seluruh belahan dunia. Antara jawatan yang pernah disandang beliau dalam gerakan pelajar ialah Timbalan Presiden Persatuan Pelajar-pelajar Islam seluruh Australia. Presiden Persatuan Pelajar-pelajar Islam, Universiti Oxford England. Semasa menuntut di Universiti Oxford beliau diingati kerana berjaya menyatukan barisan pelajar Sunni dan Syiah di Universiti tersebut.
Wan Abdul Rahman yang juga berbakat besar dalam menyampaikan kuliah agama di masjid dan surau di sekitar Lembah Kelang juga mantan pensyarah, Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam kerjaya akademiknya dan juga menghasilkan buku-buku berkaitan kajian politik dan pilihanraya. Beliau semenjak pulang dari luar negara adalah aktivis tegar PAS di Selangor dan peringkat PAS Pusat.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah sebagai AJK Lujnah Penerangan PAS Pusat, Timbalan YDP PAS Hulu Langat, Ketua Urusan Ulamak PAS Hulu Langat, Ketua Urusan Ulamak PAS Serdang, Bakat dan potensi yang beliau miliki terus dimanfaatkan untuk kerja-kerja amal Islami seusai tamat perkhidmatan beliau daripada UKM Bangi. PAS Pusat telah melantik Haji Wan Abdul Rahman sebagai Pengarah, Center For Electoral Reforms Initiatives (CERI), Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, untuk membuat kajian dan penelitian terhadap perjalanan pilihanraya yang disertai oleh PAS.
Memandangkan latarbelakang akademik yang beliau miliki, Haji Wan Abdul Rahman telah dilantik sebagai AJK Penaja Penubuhan Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM), sebuah Kolej Universiti milik PAS yang didirikan di Taman Melewar, Kuala Lumpur. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah, Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP).
Dr Wan Abdul Rahman walaupun tidak ditabal dengan gelaran kesarjanaan akibat pendirian politik beliau semasa berkhidmat di UKM,namun jasanya dalam bidang ilmu sangat besar. Saya mempunyai kenangan peribadi yang tersendiri dengan almarhum, apabila beliau menjadi penyelia MA saya pada tahun 2002. Meninggalkan seorang balu dan empat cahayamata, sosok tawadhuk ini sentiasa berpuasa sunat, mesra masjid seumur hidupnya, menyintai perjuangan Islam. Beliau semasa terbaring sakit di Hospital, masih lagi menulis untuk kolum akhbar Harakah.
Damailah Ustaz Wan Abdul Rahman, guru kami yang dedikasi, bapa yang penyayang, aktivis yang cekal, murabbi yang disayangi oleh kader-kader dakwah di kampus. Alfatihah!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)




























