Oleh KAM
KUALA NERUS – Telah terdapat laporan dari aktiviti kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bersifat negatif terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan PAS Pusat sedang menunggu laporan dari negeri-negeri berkaitan aktiviti kumpulan terbabit sebelum dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti.


“Kita (PAS) telah membuat kenyataan bahawa semua Ahli-ahli Parlimen PAS, pimpinan PAS tidak menyertai program (GHB) ini. Ini di luar dari PAS dan dianggap tindakan yang negatif terhadap PAS.
“Kita (PAS) memberi ‘amaran’ supaya mereka tidak menghadiri majlis-majlis ini. Dalam masa yang sama kita juga sedang menunggu laporan dari negeri-negeri.
“Ini kerana, negeri-negeri akan membuat laporan masing-masing tentang tingkah laku wakil rakyat kita (PAS) atau pimpinan parti yang akan kita bawa kepada Jawatankuasa Disiplin PAS,” tegasnya.


Ketika ditanya, apakah bentuk ‘amaran’ yang bakal dikenakan kepada mana-mana pimpinan parti dan wakil rakyat PAS yang melanggar arahan itu, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi berkata banyak cara boleh dikenakan disiplin.
Katanya, tindakan disiplin parti boleh dikenakan kepada ahli dengan nasihat dan amaran termasuk dipecat keahlian PAS.
“Nanti ada (ahli) yang langgar dulu. Disiplin ini ada pelbagai perkara (cara) dan disiplin ini bukan semestinya pecat terus. Disiplin ini bermula dengan minta surat tunjuk sebab, beri nasihat, gantung (keahlian) dan dipecat, atau dibiarkan “kering” begitu sahaja,” jelasnya.
Menurutnya, PAS bukan sebuah parti yang berebut kuasa tetapi PAS adalah sebuah parti yang mahu menunaikan amanah Islam.


























