1MDB Krisis Terbesar Politik Negara ; Siasat Segera dan Tegakkan Keadilan

1599

PAS telah mengambil pendirian tegas dan jelas sejak dari dahulu bahawa, penyelewengan mesti ditentang, nilai integriti mesti dipulihkan dan keadilan mesti ditegakkan.

Justeru itu, Ketua Penerangannya Ustaz Nasruddin Hassan menyeru buat kesekian kalinya, siasatan telus dan bebas mesti dilakukan.

“Pada masa yang sama , prinsip Islam dalam proses siasatan ini hendaklah ditegakkan sepenuhnya sebagai penegasan Nabi saw iaitu :

البينة على المدعي و اليمين على من أنكر

( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

“Pendakwaan mestilah berpaksi pada bukti yang jelas dan kukuh sementara pihak yang dituduh hendaklah diberi peluang bersumpah dan membuat penafian yang meyakinkan jika tidak mengaku bersalah,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpinan utama parti khasnya Tuan Guru Presiden PAS, Timbalan dan Naib – naib, telah pun mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini.

Malah, kata beliau, Lajnah Penerangan PAS negeri – negeri telah membuat report polis berasaskan pendedahan The Wall Street Journal.

“Pihak WSJ telah mempertahankan dakwaannya dan mengemukakan asas pertuduhan atau dakwaan mereka. Sementara YAB Perdana Menteri masih dilihat teragak – agak untuk membuat penafian secara langsung pada subjek dakwaan yang dibuat.

“Penafian yang dibuat masih diawang – awangan dan tidak meyakinkan,”jelas beliau

Justeru itu, PAS telah menegaskan bahawa perlu satu Suruhajaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera dan mengendalikan proses siasatan secara adil dan telus.

“Kita tidak boleh berpihak pada yang salah sebagaimana kita juga tidak boleh menganiaya pihak yang tidak bersalah. Maka salah atau tidak mesti ditentukan melalui proses siasatan dan pembicaraan yang telus dan adil,

“Jangan biarkan negara tergantung tanpa tindakan segera yang berkesan kerana ia bukan sahaja merosakkan nama baik negara tetapi akan memberi kesan langsung pada kestabilan ekonomi dan politik tanahair,”katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media

Ahli Parlimen Temerloh itu juga menggesa Yang Dipertua Dewan memanggil segera satu Sidang Khas Parlimen juga perlu dipanggil segera bagi membolehkan YAB Perdana Menteri khasnya dan kerajaan amnya memberi penjelasan kepada ahli – ahli parlimen.

“dan (Najib) menjawab persoalan serta kekeliruan berbangkit oleh seluruh ahli parlimen sebagai wakil rakyat yang juga bertanggungjawab langsung bagi pihak rakyat dalam negara ini untuk mengetahui betul duduk sebenar perkara ini.

“yang didapati bersalah mesti bertanggungjawab dan diambil tindakan wajar sesuai dengan bentuk kesalahan sementara yang didapati tidak bersalah maka ia berhak menikmati kebebasan,”ujarnya lagi.

Beliau menekankan, itulah prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS dan ia terpakai pada semua yang mahukan keadilan tegak di atas tanahair kita.